Pemilik bengang kereta rosak teruk, penyewa rupanya guna Axia angkut buah kelapa sawit

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah terkejutnya seorang pemilik perniagaan kereta sewa di Sabah apabila melihat kenderaan jenis Axia disewakannya mengalami kerosakan teruk akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab.

Kenderaan Axia berwarna hijau berkenaan bukan sahaja dipulangkan penyewa dalam keadaan yang begitu kotor malah bahagian bampar kereta juga pecah dan terdapat kesan pelanggaran.

Penyewa juga meninggalkan peralatan tajam seperti sabit dan parang di bahagian bonet belakang selain terdapat banyak biji sawit lerai yang membuktikan bahawa kereta sewa itu digunakan untuk memunggah buah sawit.

Rakaman dan gambar memaparkan kerosakan Axia yang begitu teruk itu dikongsikan oleh pengusaha kereta sewa terbabit menerusi satu hantaran tular dimuat naik di sebuah laman kumpulan Facebook, baru-baru ini.

Menurutnya, penyewa terbabit sudah melarikan diri tanpa membayar ganti rugi malah usaha untuk berhubung juga menemui jalan buntu apabila individu terbabit menyekat atau ‘block’ nombornya telefonnya.

“Hati-hati kepada mereka yang buat perkhidmatan kereta sewa. Orang ini sudah menyewa kereta saya tetapi sekali dengan buah sawit dia bagi ‘tumpang’. Saya sudah cukup percaya dengan kamu. Tetapi kamu buat TAH*.

“Banyak betul KEROSAKAN pada kereta saya. Tayar kena ganti baru sebab yang lama sudah botak. Terdapat kesan pelanggaran, bampar pecah, bahagian dalaman kotor dan lampu indikator amaran enjin juga menyala.

“Kenapa saya muat naik hantaran di sini? Sebab orang itu ada dalam kumpulan Facebook ini. Orang itu enggan beri kerjasama. Hantaran ini saya hanya akan padam sekiranya orang itu membuat bayaran ganti rugi,” katanya.

Gambar kerosakan dan biji sawit lerai yang ditemui berterabur di dalam kereta Axia tersebut.

Wajah penyewa kereta Axia berkenaan turut dikongsikan dalam hantaran itu dengan harapan individu yang terlibat dapat bertanggungjawab atas kerosakan teruk dilakukan selain sebagai amaran kepada pengusaha lain.

Satu laporan polis juga telah dilakukan dan pemilik hanya menunggu masa untuk penyewa berkenaan tampil bagi membuat bayaran ganti rugi atau tindakan selanjutnya bakal diambil terhadapnya.

Baca juga: Wanita angkut Axia naik perahu bawa balik kampung di Mulu, Sarawak