Baru-baru ini tular satu hantaran di media sosial daripada seorang isteri yang memberi peringatan secara terbuka kepada rakan sekerja suaminya khususnya para wanita.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Thread, isteri berkenaan berharap agar rakan sekerja perempuan suaminya berhenti berkongsi masakan mereka kepada lelaki itu.
Isteri terbabit juga turut mencadangkan supaya masakan dari rumah tersebut diberikan kepada lelaki lain berikutan ramai lagi pekerja berada di pejabat tersebut selain dari mereka yang berstatus suami orang.
Perkongsian itu dibuat secara terbuka tanpa menamakan mana-mana individu namun cukup memberi peringatan kepada mereka yang mengenali atau para wanita bertugas di tempat kerja suaminya.
“Saya sudah memberi peringatan kepada suami tentang perkara ini. Kepada mana-mana wanita yang bekerja di tempat sama dengan suami saya, janganlah pelawa dia makan masakan dari rumah awak itu.
“Minta lelaki lain di pejabat itu yang makan masakan awak,” kata wanita itu menerusi satu hantaran di akaun Thread miliknya sebagai peringatan umum kepada rakan sekerja suaminya.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu juga mengakui langsung tidak keberatan sekiranya suami memakan masakan tersebut asalkan ia turut dihidangkan kepada rakan sekerja lain.
Namun situasi menjadi ‘menyeramkan’ apabila rakan sekerja wanita itu memasak dari rumah kemudian menawarkan hidangan tersebut khusus untuk dimakan oleh suaminya sahaja.
Menurut wanita itu, suaminya boleh mengambil masakan tersebut jika mahu menjaga hati rakan sekerjanya namun jangan pula memakannya sebaliknya diserahkan kepada orang lain tanpa pengetahuan pemberi.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju dengan tindakan wanita terbabit memberi peringatan kepada suaminya dan memuat naik teguran secara terbuka mengenai garis sempadan rakan sekerja.
Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman sendiri selain memberikan pendapat kepada rakan sekerja wanita yang tetap mahu berkongsi rezeki namun tidak ingin mengeruhkan keadaan.
“Kalau ikhlas nak orang rasa masakan kita, berilah kepada semua orang. Bukan masak untuk seorang itu sahaja. Itu tak hormat pasangan rakan sekerja namanya. Memang pelik. Biar orang kata sempit otak, kita yang kena hadap. Betul tindakan awak. Mencegah lebih baik,” kata seorang pengguna.
“Betul sangat ini. Teringat masa sebelum bercerai dahulu, gigihnya ‘scandal’ bekas suami saya. Dia bekerja di Kuala Lumpur, nak balik Johor. Gigih lalu susur keluar Seremban di lebuh raya itu semata-mata nak hantar masakan dia. Akhirnya suami saya terpikat betul dengan masakan dia. Alhamdulillah, selamat saya menjanda.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Kejam! Warga emas terpaksa jalan kaki 500 km lepas dihalau isteri dan anak tiri