Seorang lelaki yang juga peminat tegar siri anime Crayon Shin-chan berhabis wang simpanan berjumlah RM1.8 juta untuk membina sebuah rumah replika kediaman keluarga Nohara.
Shin Chan adalah watak kartun yang disiarkan sekitar tahun 90-an dan menjadi antara kartun yang paling digemari penduduk dunia.
Mengenai rumah yang dibina, ia dimulakan oleh seorang lelaki berasal dari daerah Zhejiang, China.
Lapor Anime Hunch, lelaki itu bernama Shen Yuhao membina rumah kediaman Shin-chan di ladang ternakan biri-biri warisan keluarganya di Yun Duo, Bandar Huzhou.

Sebagai seorang graduan universiti, Shen pulang ke kampung halaman untuk mengambil alih ladang tersebut sambil menjadi pencipta kandungan agrikultur.
Shen kemudian mengusulkan strategi yang luar biasa bagi membantu meningkatkan ekonomi setempat.
Pembinaan rumah replika ini tidak hanya berasaskan kepada minat semata-mata, malah Shen berhasrat menjadikan ia sebagai tempat tarikan pelancong ke kampung halamannya.
Idea pembinaan rumah replika ini muncul sewaktu Shen bersama pasukan kreatifnya berbual santai ketika mereka bekerja lebih masa.
Bagi menjadikan idea ini satu kenyataan, beberapa lawatan ke agensi perlesenan anime Crayon Shin-chan di Shanghai dilakukan. Ia bertujuan mendapatkan persetujuan bagi projek pembinaan ini.

Tanpa diduga, usaha mereka disambut dengan begitu baik oleh pihak agensi.
Pelbagai bahan rujukan diserahkan oleh pihak pemegang hak milik membolehkan mereka meneliti setiap sudut dalam penghasilan rumah tersebut. Segala pembinaan termasuk pembuatan perabot dan hiasan dalaman rumah turut dibuat sendiri.
Kesemua usaha ini menjadikan kos melebihi nilai awal belanjawan yang dibuat iaitu 3 juta Yuan. Namun, penambahan kos ini tidak menghalang Shen meneruskan hasratnya membina rumah replika itu.
Menurutnya, sokongan kewangan daripada ibunya amat memberi makna dalam membantu Shen menjadikan rumah replika ini satu kenyataan.
“Nasib baik ibu saya menyokong usaha saya tanpa berbelah bagi, menyediakan dana permulaan bagi saya merealisasikan impian saya,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, impian Shen turut mendapat sokongan pihak berkuasa tempatan.
Jalan yang menghubungkan ladang dan rumah tersebut ditambah baik menjadi laluan yang lebih luas, sesuai sebagai tempat tarikan pelancong.
Baca juga: Patutlah rangup sampai ke petang! Ini cara nak buat ayam goreng RM1 ala pasar malam