Cuba sakitkan hati bekas isteri, lelaki ini hanya ‘transfer’ RM0.03 untuk nafkah anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang lelaki yang bergelar bapa tergamak membuat pemindahan wang secara atas talian sebanyak RM0.03 atau hanya tiga sen untuk nafkah anak kepada bekas isterinya.

Itulah situasi yang kini terpaksa dihadapi oleh seorang ibu tunggal di dalam membesarkan anak seperti dikongsikan dalam satu hantaran tular dimuat naik di platform TikTok, baru-baru ini.

Dalam perkongsian berbentuk video berdurasi 10 saat itu, wanita berkenaan turut menyertakan tangkap layar yang mengandungi maklumat transaksi perbankan atas talian miliknya.

Maklumat transaksi bank bersama butiran ‘Nafkah (anak) Disember 2024’ dengan nilai pemindahan wang sebanyak tiga sen itu dikatakan sengaja dilakukan bekas suaminya dengan tujuan menyakitkan hati.

Perkara itu diakui oleh ibu tunggal terbabit di dalam video tersebut namun memaklumkan bahawa cubaan bekas suaminya tidak berhasil ekoran dirinya kini lebih percaya kepada ketentuan rezeki dan doa orang teraniaya.

“Cubaan bekas suami untuk menyakiti hati saya ini tidak berjaya kerana dia lupakan dua perkara iaitu rezeki Allah itu luas dan doa orang yang terzalimi (adalah antara yang paling mustajab),” katanya dalam perkongsian itu.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang tular di media sosial itu sudah berjaya meraih sebanyak 1.8 juta tontonan dan juga 119,500 tanda suka daripada pengguna aplikasi TikTok.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi simpati dengan wanita itu dan menyelar tindakan bekas suaminya yang tergamak mengabaikan tanggungjawab terhadap zuriatnya sendiri.

Ramai juga pengguna berharap agar lelaki itu dikenakan balasan yang setimpal dari Yang Maha Kuasa akibat dari perbuatannya itu selain menyesali perbuatannya apabila diabaikan anak di masa hadapan.

Mereka juga tidak lupa untuk mengirimkan doa buat ibu tunggal terbabit supaya terus cekal dalam mencari rezeki demi membesarkan anak tanpa bantuan insan bergelar bekas suami dan dimurahkan rezeki sepanjang hidupnya.

Baca juga: Lain betul sekarang, pelakon filem Tentang Bulan kongsi foto terkini lepas lama tak berlakon