Baru-baru ini tular satu rakaman temu ramah melibatkan seorang warga asing asal Bangladesh yang mendedahkan jumlah pendapatan diterimanya setiap bulan sepanjang bekerja di Malaysia.
Difahamkan, lelaki terbabit mulanya datang ke negara ini untuk mencari rezeki sebagai pekerja di tapak pembinaan dengan memperoleh pendapatan bernilai RM900 setiap bulan.
Kini selepas 10 tahun berlalu, warga asing terbabit sudah berjaya meraih gaji setinggi RM5,200 setiap bulan dengan bertugas sebagai penyelia di dalam urusan pembayaran upah dan pendapatan pekerja di tapak pembinaan.
Perkara itu didedahkan oleh warga asing terbabit dalam satu sesi temu bual bersama organisasi sosial, Malaysian Pay Gap yang mana rakamannya dikongsikan di platform TikTok.
“Saya berasal dari Bangladesh dan sudah bekerja lebih 10 tahun di Malaysia. Saya bekerja di tapak pembinaan. Kini bertugas sebagai penyelia dalam menguruskan tuntutan upah dan gaji pekerja.
“Masa mula-mula datang ke Malaysia, gaji saya hanyalah RM900 setiap bulan. Tetapi sekarang ini pendapatan saya sudah mencecah RM5,200 sebulan. Saya tak pernah tukar kerja selama 10 tahun ini.
“Cuma majikan saya sahaja yang bertukar sebanyak dua kali tetapi tugasnya tetap sama,” kata lelaki berkenaan ketika ditanya jika pernah bertukar kerja memandangkan gajinya memiliki peningkatan.
Dalam perkongsian yang sama, pekerja asing berkenaan mengakui jumlah gaji diterimanya menjadi faktor utama dalam membuat keputusan untuk berhijrah ke Malaysia bagi mencari rezeki.
Hal ini kerana gaji diperolehnya jika bekerja di Bangladesh hanyalah sebanyak RM400 sehingga RM450 berbanding pendapatannya kini iaitu RM5,200 yang dikatakan sudah setara dengan pengurus bank di negaranya.
“Ya Tuhan, gaji di negara saya sangatlah kecil. Jika ditukar kepada matawang Malaysia, gaji di sana hanyalah RM400 hingga RM450 setiap bulan. Malah gaji saya di Malaysia ini sudah sama seperti pendapatan pengurus bank di sana.
“Banyak juga jawatan tinggi lain di Bangladesh dapat gaji sebesar itu. Tetapi saya di sini hanyalah bekerja sebagai penyelia di tapak pembinaan untuk memperoleh gaji dalam jumlah yang sama,” kongsinya.
Pekerja asing terbabit juga turut memaklumkan bahawa setakat ini, sudah sebanyak RM16,000 sehingga RM17,000 wangnya dibelanjakan bagi urusan membayar ejen untuk bekerja di Malaysia sejak 2013.
Baca juga: Teringin nak buat kemunculan semula, Shima mahu kekalkan genre ‘style’ lagu lama