“Buka baju sebab panas angkat durian” – Tauke durian viral dedah jualan pernah cecah RM10,000 sehari

Oleh MALAYSIADATELINE

Pernah tular di media sosial kerana tampil menjual durian tanpa memakai baju, pemilik gerai Durian Papa Muda akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik video promosi yang mencuri perhatian ramai itu.

Pemiliknya, Muhamad Hairul Hafiz berkata, pendekatan luar biasa tersebut hanyalah sebahagian daripada strategi pemasaran bagi menarik perhatian pelanggan ke gerai duriannya.

Malah, dia mengakui masih meneruskan gaya promosi berkenaan kerana ia dilihat berjaya membantu meningkatkan perhatian orang ramai terhadap perniagaannya lapor Gempak.

Jelas Hairul apa yang dikongsikan di media sosial hanyalah sebahagian rutin ketika mereka memunggah durian di bawah cuaca yang panas.

“Rasanya biasa sahaja apabila golongan lelaki membuka baju ketika bekerja di bawah panas terik.

“Kami pun tidak mahu baju terkena peluh ketika proses memunggah buah durian keluar dari lori.

“Sepanjang melakukan jualan, kami berbaju. Bukan kami mahu mempromosikan tubuh badan atau unsur tidak senonoh.

“Cuma apa yang dipaparkan di media sosial disalah ertikan sesetengah pihak,” katanya seperti dipetik Gempak.

Bagaimanapun dia tidak mengambil hati dengan kecaman yang dilemparkan, baginya apa yang penting adalah kualiti buah mereka sentiasa terjaga.

Dalam masa sama Hairul memaklumkan impak daripada populariti yang diraih dua tahun lepas menyebabkan perniagaan mereka mampu menjana jualan sehingga sekitar RM10,000 sehari.

Hairul turut berkongsi dia berdepan pelbagai cabaran termasuk dikhianati oleh individu yang dipercayai.

“Paling sedih apabila orang yang kita percaya pun cuba mengambil kesempatan. Namun, saya anggap ia sebagai dugaan dalam perniagaan.

“Semua itu proses untuk saya belajar dan memperbaiki strategi,” katanya.

Tegas Hairul, pekerja di sana sudah dianggap seperti keluarga dan sebolehnya dia tidak mahu ada perkara yang melemahkan semangat pekerjanya.

“Perniagaan ini bukan melibatkan saya seorang sahaja. Semua kakitangan yang bekerja saya sudah anggap seperti keluarga.

“Jadi, saya tidak boleh patah semangat apabila berdepan ujian. Biarlah saya sendiri yang menanggung kesusahan itu,” katanya lagi.

Baca juga: Walaupun menang MasterChef, peserta Malaysia tetap dikritik gara-gara sebut ‘roti kanai’