Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bekerjasama dengan Jepun bagi menyegerakan pembangunan semula Gaza adalah langkah tepat pada masanya dan sesuai dengan situasi semasa.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, sebagai negara yang lebih memahami selok-belok politik Palestin-Israel, Malaysia dapat menyumbang bukan sahaja kepada keperluan fizikal tetapi juga rohaniah rakyat Palestin.
Menurutnya kerjasama ini berpotensi menghasilkan impak jangka pendek dan panjang yang lebih efektif.
“Memandangkan sejarah keingkaran Israel dalam menghormati gencatan senjata, faktor ini perlu diambil kira.
“Kemungkinan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel memerlukan pelan kontingensi untuk perubahan lokasi perumahan secara pantas dan efisien,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Anwar yang mahu pembangunan segera Gaza dilakukan.
Anwar sebelum ini berkata beliau akan berbincang dengan rakan sejawatnya dari Jepun iaitu Perdana Menteri Shigeru Ishiba untuk memuktamadkan perkara tersebut.
Beliau berpandangan langkah kritikal ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan untuk penduduk Gaza, yang telah menanggung penderitaan yang begitu besar.
Pembangunan semula Gaza dijangka bakal menelan kos sebesar 1 trilion dolar Amerika susulan kemusnahan harta benda dan infrastruktur yang teruk akibat serangan rejim zionis.
Sementara itu Raja Kamarul berkata, keperluan mendesak yang perlu disegerakan ketika ini adalah untuk memberi perlindungan daripada cuaca sejuk dan hujan musim sejuk.
Kata beliau, Biro Antarabangsa AMANAH dengan hubungan rapat bersama NGO dan komuniti tempatan Palestin serta kepakaran dalam bidang pembinaan, bersedia memainkan peranan penting untuk bekerjasama dengan pihak Jepun dalam melaksanakan inisiatif ini.
“Konsep fabrik bangunan serta struktur sementara yang dapat memenuhi keperluan ini harus diberi perhatian.
“Pada masa sama, sistem pembinaan pantas seperti konsep pasang siap wajar disediakan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penghuni,” ujarnya lagi.
Baca juga: PM Anwar sokong, alu-alukan pengumuman gencatan senjata di Gaza