Pelakon popular, Nur Fazura mengakui dirinya langsung tidak terkesan dengan fitnah dan kecaman dilemparkan terhadapnya berhubung luahan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya mengenai bapanya iaitu aktor, Fattah Amin.
Fazura juga enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya walaupun diminta oleh peminatnya ketika melakukan satu sesi siaran langsung di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.
Menurutnya, fitnahan yang dilemparkan oleh segelintir pengguna media sosial itu adalah urusan mereka sendiri dan pelakon berusia 42 tahun terbabit memaklumkan bahawa dirinya percaya dengan hukum Allah.
“Secara jujurnya, saya tak terkesan langsung. Sebab saya percaya dengan hukum Allah. Kalau kita berniat baik akan dibalas baik dan kalau niat jahat akan dibalas jahat. Biarlah mereka nak buat apa pun, itu urusan mereka.
“Paling penting adalah kita kena sentiasa bersabar dan serah segalanya kepada Allah. Tak mengapa, biarlah mereka nak fitnah. Mungkin Allah nak angkat darjat saya,” katanya dalam sesi siaran langsung tersebut.
Pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu turut mengakui kini bahagia dengan kehidupannya sekarang selain percaya setiap perkara yang berlaku pasti memiliki hikmahnya tersendiri.
Pelakon filem Pisau Cukur itu juga sempat memberikan peringatan kepada peminat supaya tidak terlalu fikirkan perkara negatif dan bimbangkan dirinya selain berterima kasih atas sokongan mereka selama ini.
“Terima kasih kepada semua, jangan langsung rasa sakit hati. Jangan risau, saya okay. Gembira dan tenang. Kita sebenarnya perlu zikir nama Allah. Tetapi mereka nak zikir nama Fazura, biarlah,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan pelakon itu sedang membaca salah satu komen daripada peminat ketika melakukan satu sesi siaran langsung yang bertanya mengapakah Fatimah menangis sebelum ini.
Fatimah yang kelihatan seperti sedang merajuk dan sedih kemudian menjawab bahawa dirinya tidak menyayangi bapanya dan tidak mahu bertemu dengan pelakon itu lagi sambil menggelengkan kepalanya.
Sekadar info, Fazura dan Fattah pernah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.
Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai talak satu pada 6 Oktober tahun lalu selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari meluluskan permohonan cerai yang difailkan oleh Fazura.
Mahkamah juga memutuskan hak penjagaan Fatima jatuh kepada Fazura, sementara Fattah diberikan hak lawatan tiga kali seminggu dan dibenarkan bermalam dengan anaknya dua kali sebulan.
Baca juga: Lelaki ragu-ragu kenapa anak perempuannya yang baru lahir terlalu cantik