Siapa sangka, seorang pemuda rela menolak tiga tawaran pekerjaan dan melupakan kerjaya impian demi membantu ibu bapanya menjalankan perniagaan ikan masin di kampung.
Pemuda yang bercita-cita untuk menjadi penganalis data itu difahamkan merupakan lulusan dari sebuah universiti dan memiliki Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Sains Ekonomi.
Namun demi tanggungjawabnya sebagai seorang anak, pemuda berkenaan memilih untuk tinggal di kampung kerana percaya akan memperoleh keberkatan rezeki yang datang daripada doa ibu bapa.
Perkara itu didedahkannya menerusi satu hantaran video di TikTok yang turut memaparkan aktiviti hariannya dalam memproses ikan masin termasuklah membersihkan, menyiang dan menjemur hidupan laut tersebut.
Dalam rakaman itu, pemuda terbabit turut berkongsikan keputusan semua peperiksaan diperolehnya sebelum ini dari Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sehinggalah gred yang diraih ketika tamat pengajian di universiti.
“Betul, saya sudah mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Tetapi saya terpaksa tolak untuk tolong ayah. Saya kerja ini pegang berkat mak ayah,” katanya ketika membalas komen penonton.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian pemuda itu sudah berjaya memperoleh sebanyak 272,800 tontonan daripada pengguna TikTok yang mana seramai 20,300 pelayar turut meninggalkan tanda suka,
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna kagum dengan sikap pemuda terbabit kerana sanggup berkorban demi ibu bapa dan memberi kata-kata semangat kepadanya untuk memajukan perniagaan ikan masin tersebut.
Ramai juga pengguna mencadangkan agar pemuda itu menggunakan ilmu yang dipelajarinya di universiti bagi mengembangkan usaha selain turut mendoakan supaya rezekinya diperluaskan oleh Allah SWT.
“Sudah ada peluang itu untuk menjadi penganalisis data dalam konteks yang lebih kecil. Gunakan minat di dalam menganalisis data itu untuk memajukan perniagaan,” kata seorang pengguna.
“Percayalah, ilmu yang dipelajari boleh digunakan di masa hadapan. Tetapi nikmat sekarang ini dapat dekat dengan orang tua waktu mereka hidup, tak dapat diungkapkan. Rezeki sentiasa cukup, walaupun tak kaya kan?.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Orang yang selalu rasa dia betul adalah tanda dia tak betul – UAI