Kebanyakan orang tidak melihat kontrak secara mendalam dan lebih mementingkan tawaran atau bayaran diberikan.
Disebabkan itu maka tak terkejut jika ada artis yang tanpa sengaja terlibat dalam penipuan syarikat lain.
Tampil mengulas isu baru-baru ini mengenai artis ternama yang terlibat dalam Ops Sky, penyampai radio Sharifah Shahirah akui banyak artis tidak memahami kontrak lapor Kosmo! Online.
“Sebelum mempersetujui sebarang undangan atau tawaran kebiasaannya memang kita siasat latar belakang syarikat terutama yang membabitkan kontrak besar.
“Artis bukan tidak bijak, segala-galanya juga diperincikan malah mempunyai kontrak, cuma masalahnya macam saya yang tidak mempunyai pengurus ada kalanya tanda tangan sahaja perjanjian sedangkan tidak begitu faham butiran dalam kontrak.
“Paling mudah, kami juga terus bersetuju dan tidak fikir panjang apabila melihat adanya pembabitan selebriti lain terutama berstatus ‘datuk’ kerana menunjukkan syarikat itu legit,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama Sharifah mengakui dirinya yang bergelar artis gred D tidak pernah merasa tawaran bernilai ratusan ringgit dan segala urusannya diuruskan ejen lantikan syarikat.
“Tawaran yang saya terima kebanyakannya adalah produk makanan keluarga, setakat ini belum pernah lagi saya dilamar syarikat perunding kewangan.
“Tetapi siapa tidak mahu tawaran lumayan? Saya akui boleh ‘sesat’ sekejap kalau tiba-tiba dapat tawaran hampir setengah juta.
“Cuma andai betul, timbul juga rasa was-was. Bukan apa risau dari mana mereka dapat wang sebanyak itu kerana selalunya syarikat besar lagi berkira,” ujarnya.
Baca juga: Gaji minimum RM1,700 redakan tekanan kewangan, lonjak lagi ekonomi negara – Pakar