Aiman Tino tinggalkan nafkah sebelum keluar memancing, isteri terharu baca nota suami

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Aiman Tino membuat isterinya terharu apabila meninggalkan sekeping nota bersama sejumlah wang tunai buat wanita itu sebelum keluar rumah untuk pergi memancing.

Dalam nota tersebut, pemilik nama sebenar Muhammad Aiman Yusri itu memaklumkan bahawa wang berkenaan adalah nafkah bulanan untuk kegunaan isterinya iaitu Syarah Haifa.

Penyanyi berusia 27 tahun terbabit turut meminta Syarah untuk mendoakannya supaya dapat membawa pulang hadiah hasil daripada memancing hidupan laut ke rumah mereka.

Isi nota berkenaan dikongsikan oleh Syarah menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 18 saat di akaun TikTok miliknya yang turut memaparkan riak wajah terharunya ketika membaca surat tersebut.

“Nafkah untuk sayang bulan ini. Doakan saya agar dapat bawa balik hadiah. Halalkan hutang-hutang saya selama ini dan semoga kita kekal bahagia sampai syurga,” tulis Aiman dalam nota itu.

Syarah bagaimanapun tidak mampu lagi menahan sebak dan menitiskan air mata apabila membaca pesan terakhir Aiman untuk berdoa dan bersama-sama berusaha bagi mendapatkan zuriat suatu hari nanti.

Syarah menitiskan air mata terharu selepas membaca isi nota ditulis suaminya itu.

Dalam perkongsian yang sama, Syarah mengakui dirinya tidak menyangka Aiman akan meninggalkan kata-kata romantis dalam nota tersebut dan turut mendoakan agar suaminya sentiasa dimurahkan rezeki.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terharu dengan cara Aiman menghargai Syarah dan turut memuji sikap penyanyi itu kerana tidak lupa menjaga kebajikan isteri sebelum keluar memancing.

Ramai juga pengguna TikTok tidak lupa untuk memberi semangat dan mengirimkan doa agar pasangan tersebut kekal bahagia dan dapat menimang cahaya mata sendiri suatu hari nanti.

“Surat itu yang sebenarnya buatkan kita sebagai isteri ini rasa gembira kan. Nikmati dahulu hidup berdua. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimewahkan rezeki,” kata seorang pengguna.

“Kenapa kita yang tengok ini menangis juga. Lagi-lagi bila sebut pasal anak. Ya Allah, semoga ada rezeki buat awak dan suami untuk mendapatkan anak. Selalu menjadi keluarga yang bahagia ya.” Kongsi pengguna lain.

Sekadar info, Aiman dan Syarah sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Dewan Astana, Bamboo Hills, Taman Bamboo, Kuala Lumpur pada 27 April 2023.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah Mohd Azri Ahmad Kamil Al-Hafiz, Penolong Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Jabatan Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) dengan mas kahwin RM5,000 manakala wang hantaran dirahsiakan.

Baca juga: Artis bukan tak bijak, Sharifah Shahirah anggap ramai tak faham kontrak