“Saya nak suami orang” – Wanita dedah punca kurang gemar bercinta dengan lelaki bujang

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas mendedahkan punca dirinya lebih tertarik kepada lelaki berstatus suami orang berbanding jejaka bujang.

Menurut wanita itu, sikap suami orang yang hanya akan menghubunginya di dalam waktu-waktu tertentu sahaja menjadi antara punca dirinya menjalinkan hubungan dengan lelaki sedemikian.

Situasi bagaimanapun agak berbeza sekiranya memilih untuk menjalinkan hubungan dengan jejaka bujang di mana wanita itu berpendapat dirinya perlu meluangkan lebih masa bersama pasangan.

Perkara itu didedahkan oleh wanita terbabit ketika ditemu bual di dalam satu sesi ‘podcast’ atau audio siar bersama Studio Tulin yang mana sedutan rakamannya turut dimuat naik di platform TikTok.

“Saya mempunyai tanggungjawab yang besar dengan keluarga. Saya perlu menjaga ibu bapa dan adik-beradik. Jadinya masa yang saya ada, banyak diluangkan bersama keluarga.

“Ketika itu saya berfikir kalau berkahwin dengan lelaki bujang, kena luangkan banyak masa dengannya. Kalau dengan suami orang, hanya masa-masa tertentu sahaja kami akan berjumpa,” katanya dalam perkongsian itu.

Dalam sesi audio siar tersebut, wanita itu turut berkongsi pengalamannya bercinta dengan suami orang berusia di dalam lingkungan 50-an ekoran memiliki urusan dengan anak lelaki terbabit.

Wanita itu mengakui lelaki berkenaan masih mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga dengannya meskipun hubungan mereka sebelum ini telah terputus di tengah jalan.

“Permulaannya, kami berhubung lebih kepada urusan pekerjaan. Saya bekerja dalam bidang berkaitan taklimat. Saya uruskan taklimat kepada para remaja-remaja yang mahu melanjutkan pelajaran.

“Lelaki ini merupakan ayah kepada salah seorang remaja yang menyertai taklimat tersebut. Daripada situ mulalah bergurau senda dan detik-detik berkawan,” dedah wanita yang disembunyikan identitinya itu.

Wanita terbabit turut memaklumkan bahawa dirinya juga tertarik dengan sikap lelaki berstatus suami orang itu yang sentiasa berusaha mencari masa terluang untuk menghubunginya.

Difahamkan, wanita itu bagaimanapun sudah insaf untuk bercinta dengan suami orang dan masih menanti lelaki bujang yang matang serta bertanggungjawab untuk dijadikan suami.

Baca juga: ‘Bakers’ kampung jual kek harga RM150 tapi lain pula yang netizen tengok