Sempat merasa duduk di balik tirai besi selama di penjara Kajang 21 hari sebelum dibebaskan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, pendakwah selebriti ini teruja diberi kepercayaan untuk berlakon.
Tidak menyangka masih ada rezeki dalam industri seni, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail atau Da’i Syed akui bersyukur lapor Harian Metro.
“Alhamdulillah, filem ini adalah pembuka rezeki buat saya bagi tahun ini. Sejujurnya, saya tiada tawaran kerja sebelum ini. Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih buat MIG dan pengarah kerana memanggil saya.
“Mungkin ini juga rezeki anak dan isteri. Saya hanya menumpang rezeki mereka,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Walaupun tidak aktif bekerja dalam industri, Syed mengakui dirinya dan isteri, Hana Ismail sibuk menjalankan perniagaan di media sosial.
“Biarpun tidak ada tawaran dalam bidang seni, saya masih ada perniagaan iaitu menjual batu permata daripada Mesir. Saya dan isteri aktif buat bisnes.
“Saya anggap ini sebagai sebahagian daripada rezeki. Bagaimanapun, saya masih terbuka menerima rezeki dalam bidang seni.
“Saya membabitkan diri dalam industri seni sejak 2016 untuk sampaikan dakwah dalam nyanyian atau lakonan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Syed menafikan dakwaan namanya digam kerana kes mahkamah yang masih berjalan hingga kini.
“Kalau orang takut, takkan MIG nak ambil saya. Saya pun tidak pasti. Kena tanya kepada pengarah atau produser. Apa pun, saya akan sentiasa bersikap profesional.
“Apa sahaja tawaran yang diberikan, saya pasti akan buat yang terbaik,” katanya.
Baca juga: Aliff Syukri menyesal bina rumah besar, perlu tanggung kos selenggara ratusan ribu ringgit