Anak seorang pun ibu bapa boleh habis ratusan ringgit untuk persediaan sesi persekolahan terbaru apatah lagi buat mereka dengan anak ramai.
Biasalah ada anak ni cepat membesar maka saiz baju pun cepat sahaja bertukar tapi kualiti baju masih dalam keadaan baik, nak buang rasa membazir.
Tular seorang pengguna Facebook Wan LuQman yang berkongsi akan inisiatif pihak sekolah dan ibu bapa, iaitu menyediakan baju sekolah terpakai.
Ujarnya lagi, dahulu ampaian disediakan hanyalah kecil dan diletak di pondok pengawal keselamatan sahaja dan kini semakin banyak yang didermakan.
“Dulu-dulu ampaian ni kecil je letak kat depan pondok pengawal keselamatan. Alhamdulillah sekarang ampaian dah makin besar.
“Usaha murni dari pihak sekolah dan ibu bapa. Mana-mana baju yang masih elok tapi dah tak pakai boleh letak dekat sekolah.
“Mana-mana ibu bapa yang bajet tengah ketat, boleh datang pilih dan ambil. Terima kasihlah pada mereka yang cetuskan idea macam ni.
“Sungguh memberi 1000 makna untuk segolongan dari kita. Kos untuk tiga ke empat orang anak nak masuk sekolah Rm1k++ tak lari. Kita sama-sama bantu.
“Ada ibu bapa yang letak baju baru, masih ada tag tanda harga. Terbaik semua ibu bapa sekolah SK Taman Seri Gombak 2,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.
Inisiatif ini menerima pujian daripada wargamaya yang mengharapkan usaha ini diluaskan di semua sekolah.
“Boleh buat dekat semua sekolah dan bantu ringankan keluarga yang kurang berkemampuan.
“Bagus betul idea macam ni, meringankan beban ibu bapa yang tak mampu dan juga beri peluang untuk orang bersedekah dan memberi.
“Bagusnya. Sekolah anak saya tak buat. Kalau buat saya letak juga baju dan tudung tak pakai. Saya biasanya bungkus dalam plastik dan letak dalam tong baju sahaja.
“Bagus sekolah ni, sekolah anak saya tak buat, barang apa pun tak beli lagi, duit bantuan awal persekolahan (BAP) simpan untuk beli buku. Anak ada enam orang,” antara komen wargamaya.
Baca juga: Tony Fernandes kongsi bagaimana dia didik anaknya sampai jadi pelajar terbaik dan ada bisnes sendiri