Majikan bukan Muslim ini banjir pujian, tunai ‘kewajipan’ bina surau luas buat pekerja Islam

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang majikan bukan Muslim menyediakan ruangan khusus buat beribadah iaitu surau untuk pekerja yang beragama Islam telah menuai pujian daripada orang ramai.

Mana tidaknya, usahawan yang popular di dalam industri pembuatan kasut dan beg tempatan iaitu Christy Ng itu rela mengubah suai satu ruangan kecil menjadi sebuah surau besar demi keselesaan pekerjanya.

Pemilik nama sebenar Christina Ng itu mengakui terfikir untuk mengubah suai surau selepas melihat pekerjanya terpaksa berhimpit dalam ruangan kecil kerana jumlah kakitangan beragama Islam semakin bertambah.

Christy berkongsikan perkara itu menerusi satu hantaran video berdurasi tiga minit dimuat naik di platform TikTok bersama kapsyen ‘Solat jangan tak solat’ yang turut memaparkan proses pengubahsuaian ruangan tersebut.

“Hari ini adalah hari yang sangat bermakna untuk semua kakitangan yang beragama Islam. Surau yang kita nanti-nantikan, sudahpun siap. Christy mengambil masa yang lebih lama untuk siapkan surau ini.

“Sebab saya nak buat yang terbaik. Sebelum ini, semua kakitangan yang beragama Islam solat di dalam satu bilik kosong. Tetapi bilik ini semakin sempit apabila pekerja semakin bertambah. Sampaikan ada yang menunggu giliran.

“Tak sampai hati tengok mereka berhimpit. Rapatkan saf itu memang perlu, tetapi tidaklah sampai berhimpit kan? Jadi proses pengubahsuaian surau pun dimulakan,” kata usahawan berkenaan dalam perkongsian tersebut.

Dalam perkongsian yang sama, Christy memaklumkan bahawa surau tersebut dibina dengan menggunakan idea dan konsep daripada pekerjanya sendiri iaitu membawa tema ‘modern jungle’.

Usahawan terbabit juga tidak lupa untuk melengkapkan keperluan lain seperti jubah, sejadah serta telekung dari jenama terkenal selepas proses pengubahsuaian surau berkenaan selesai.

“Telekung dan peralatan solat sudah cukup. Surau juga telah siap. Jadi Christy rasa tak salah kalau minta mereka (pekerja Muslim) mendoakan agar syarikat ini sentiasa diberkati dan dirahmati.

“Semoga kita semua sentiasa di bawah lindungan-Nya. Kewajipan saya sebagai majikan sudah ditunaikan. Tinggal kewajipan masing-masing. Jangan jadikan surau ini sebagai tempat ponteng kerja.” Pesannya.

Tinjauan mendapati ruangan komen perkongsian yang berjaya meraih sebanyak 2.4 juta tontonan itu dibanjiri dengan kata-kata pujian terhadap Christy kerana menjaga kebajikan pekerjanya tanpa mengira perbezaan agama.

Baca juga: Sekolah sediakan baju uniform terpakai untuk murid, sangkut di ampaian, wargamaya tuai pujian