Sambal ikan bilis cili api merupakan salah satu jenis hidangan yang cukup sederhana namun mampu membangkitkan selera terutamanya dikala kesempitan wang.
Cukup enak dimakan dengan nasi putih panas-panas, anda pastinya merasa kecewa sekiranya mendapati sambal ikan bilis tersebut sudah lemau dan tidak lagi rangup.
Rupa-rupanya, terdapat satu bahan ‘perosak’ yang sering dimasukkan oleh orang ramai ketika memasak sambal ikan bilis ini lalu menjadi punca hidangan menjadi cepat lemau.
Perkara ini dikongsikan oleh seorang wanita yang membongkarkan petua rahsia bagi memastikan masakan sambal ikan bilis cili api kekal rangup dalam tempoh seminggu.
Berikut kami sertakan bahan dan langkah-langkah serta larangan yang boleh pembaca ikuti berdasarkan perkongsian wanita dikenali sebagai Nurul Nabila Zaidi menerusi satu hantaran di platform Facebook.
“Ikan bilis akan rangup sampai seminggu. Rahsianya, jangan pakai bawang merah. Jika mahu pakai juga, pastikan kena goreng sampai betul-betul garing,” katanya dalam hantaran tersebut.
Bahan-Bahan:
- Ikan Bilis
- Bawang Putih
- Cili api merah dan hijau
- Garam
- Ajinomoto
- Asam keping
Cara-cara
1. Tumbuk cili padi hijau dan merah bersama bawang putih. Jika rajin, boleh tumbuk sehingga lumat. Jika tidak, tumbuk secara kasar sudah mencukupi.
2. Panaskan minyak masak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan toskan minyak lalu biarkan seketika.
3. Gunakan minyak dan kuali yang sama, tumis bawang putih sampai garing barulah boleh tambah cili api hijau serta cili api merah.
4. Pastikan betul-betul garing. Yang penting, perlu pastikan bahan ditumis sampai cili api masak.
5. Kemudian masukkan garam, ajinomoto dan asam keping mengikut selera anda.
6. Apabila semua bahan sudah masak, barulah anda boleh masukkan ikan bilis yang sudah digoreng ke dalam sambal. Gaul dan siap untuk dihidang!
Baca juga: Aroma menggoda! Lelaki ni ajar cara buat kopi guna biji kurma je, zero kafein!