Pemandu enggan sedia duit baki, penumpang bas henti-henti dakwa dipaksa bayar lebih untuk tiket

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang individu berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas meluahkan kekesalannya di media sosial mengenai perkhidmatan bas henti-henti di sekitar Negeri Sembilan.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Facebook, individu yang dipercayai dari Bahau itu mendakwa telah diminta membuat bayaran sebanyak RM7 untuk pergi ke Seremban.

Walau bagaimanapun, individu terbabit mendapati nilai tambang yang sebenar hanya berjumlah RM6.60 sahaja selepas memperoleh resit bayaran tiket dari pemandu bas berkenaan.

Penumpang bas berkenaan rupa-rupanya dikenakan caj sedemikian kerana pemandu dikatakan menggenapkan bayaran tiket ekoran sukar menyediakan wang baki iaitu duit syiling di dalam kuantiti yang banyak.

“Saya nak pergi KTM Seremban, diminta tambang RM7.00. Apabila dapat resit, saya tengok harganya RM6.60 sahaja. Itu pun kena minta, barulah dapat resit. Kalau tak minta, memang tak diberikan.

“Pemandu bas cakap, susah nak sediakan banyak-banyak duit syiling. Kebanyakkan penumpang juga tak bawa duit syiling. Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), kamu perlu sebutkan harga sebenar iaitu RM6.60.

“Bukan terus genapkan harganya,” kesal penumpang itu menerusi hantaran yang dikongsikan menerusi kumpulan Facebook Bahau Town dengan harapan mendapat perhatian pihak pengurusan bas.

Dalam perkongsian yang sama, penumpang berkenaan juga merasa kecewa kerana tidak dapat menggunakan alternatif lain untuk membayar tiket bas kerana sistem bayaran kad tanpa sentuh (payWave) tidak berfungsi.

Penumpang berkenaan dimaklumkan oleh pemandu bahawa sistem pembayaran tersebut masih belum siap sepenuhnya sehingga menyebabkan liputan rangkaian tidak menyeluruh.

“Mesin payWave (Visa/Master) juga tidak berfungsi. Apabila saya sentuh dengan kad kredit, terus papar mesej ‘PAYMENT CANCELLED’ (bayaran dibatalkan). Pemandu cakap sistem belum siap lagi,” kongsi individu itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna mempersoalkan integriti pemandu bas berkenaan dalam mengutip bayaran tiket meskipun jumlahnya tidaklah banyak.

Ramai juga pengguna terutamanya penduduk daerah itu baru mengetahui jumlah sebenar caj untuk perjalanan Bahau-Seremban selain turut berkongsikan pengalaman peribadi mereka mengenai masalah pembayaran.

Berikut antara komen ditinggalkan pengguna Facebook berhubung perkongsian penumpang terbabit

Baca juga: Tuan kedai muat naik hantaran di media sosial cari ‘customer’ tertinggal seluar kecik