Konflik dalam rumah tangga penyanyi, Datuk Nora Ariffin nampaknya masih belum selesai selepas kembali rujuk dengan suaminya, Dr Rushdi Ramli dalam tempoh edah pada tahun lalu.
Sebaliknya Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin mengejutkan ramai pihak apabila membuat pengakuan sedang memujuk suami yang digelarkannya Ustaz Rushdi itu untuk menceraikannya buat kali kedua.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, Nora mendakwa tindakan itu dibuat untuk menunaikan permintaan anak tirinya yang sudah lama mahu bapanya bercerai dengan penyanyi berusia 52 tahun terbabit.
Nora turut membuat permohonan maaf kerana sebelum ini telah menerima lamaran Dr Rushdi untuk mendirikan rumah tangga dan kembali rujuk selepas mereka bercerai pada sekitar bulan Ogos, tahun lalu.
“Saya juga minta maaf kerana telah memuat naik gambar bersama Ustaz. Saya sudah padam semua gambar berdua kami. Yang ada cuma gambar beramai-ramai. Saya akan penuhi permintaan dari Alia (anak tiri) yang dari dahulu lagi untuk kami bercerai.
“Insya-Allah, Ustazah Rose (madu) akan kembali monogami seperti yang diinginkan,” kata Nora dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada malam semalam.
Pelantun suara untuk lagu Di Persimpangan Jalan itu juga berharap agar keputusannya untuk bercerai dapat menghentikan segala kata-kata nista dan fitnah yang selama ini dilemparkan terhadapnya di media sosial.
Dalam hantaran berikutnya, penyanyi itu turut memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu didakwa telah memuat naik hantaran di sosial media yang berbaur fitnah terhadapnya.
“Saya sedang memujuk ustaz untuk ceraikan saya buat kali kedua. Supaya tiada lagi kata-kata fitnah, caci makii, hasut menghasut masyarakat untuk membenci dan memburukkan serta menjatuhkan nama saya di sosial media.
“Saya minta maaf dan mengaku bahawa semuanya salah saya. Ustazah Rose insan yang mulia, tidak pernah salah. Wassalam,” katanya yang mendakwa sudah mula difitnah oleh individu berkenaan sejak dari tahun 2019.
Terdahulu, Nora Ariffin mendirikan rumah tangga dengan Dr Rushdi Ramli iaitu sahabat baik kepada arwah suami permatanya, Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.
Mereka berdua mula melayari bahtera perkahwinan pada 2021 sebelum Nora mengejutkan ramai dengan memuat video berdurasi 52 saat di Instagram memaparkan Rushdi menceraikannya dengan talak satu pada 12 Ogos tahun lalu.
Penyanyi kelahiran negeri Kelantan itu mengakui bahawa perceraian berlaku sebelum tarikh video tersebut dimuat naik sebelum mengesahkan sudah kembali rujuk semula dengan Rushdi pada 14 September 2024.
Sekadar info, kemelut antara Nora dan anak tirinya yang dikenali sebagai Aya bermula selepas penyanyi berkenaan mendedahkan bahawa dirinya digelar wanita sundal dan pelbagai gelaran tidak baik lain oleh wanita itu.
Aya kemudian tampil di akaun sosial media miliknya bagi menafikan dakwaan tersebut malah mahu mendedahkan segala bukti perbualan yang dikatakan akan menunjukkan bahawa Nora juga pernah memaki hamun keluarganya.