Bukan sekadar tanam! Petani boleh mohon bantuan hingga RM100,000 untuk usahakan bawang tempatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia berjaya menghasilkan sebanyak 135.29 tan metrik bawang merah kecil dalam tempoh dua tahun hasil usaha memperluaskan kawasan penanaman di seluruh negara,

Ini sekali gus menjadi antara langkah memperkukuh sekuriti makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sepanjang tahun 2024 hingga 2025, sebanyak 155.29 hektar kawasan penanaman bawang merah kecil berjaya dibangunkan.

Negeri yang aktif membangunkan industri itu ialah Selangor, Kelantan, Perak, Terengganu dan Perlis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim pada persidangan Dewan Rakyat berhubung keluasan tanaman bawang tempatan serta insentif yang disediakan kerajaan bagi menggalakkan penanaman bawang secara komersial.

Menurutnya, usaha meningkatkan pengeluaran bawang tempatan merupakan antara keutamaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan import.

“Kita menyasarkan Kadar Sara Diri (SSR) bawang merah kecil meningkat kepada 30 peratus menjelang 2030 supaya negara tidak terlalu bergantung kepada import,” katanya.

Mohamad berkata, bagi mempercepat pembangunan industri itu, kerajaan akan menambah 61.18 hektar lagi kawasan penanaman baharu di seluruh negara pada tahun 2026.

Pada masa sama, beliau memaklumkan kerajaan melalui Jabatan Pertanian menyediakan insentif sehingga RM50,000 bagi setiap hektar, dengan maksimum bantuan bagi dua hektar untuk setiap petani di bawah Program Pembangunan Industri Bawang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Katanya, bantuan itu meliputi pembangunan infrastruktur ladang, penyediaan input pertanian, mesin dan peralatan, selain pengeluaran benih bawang merah berkualiti oleh Malaysian Agricultural Research and Development Institute.

Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti petani mampu memperkukuhkan industri bawang tempatan, meningkatkan pendapatan petani serta memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.

Baca juga: