Timbul pelbagai spekulasi selepas tular mengenai seorang pelawak popular yang didakwa ditahan di Jeddah atas kesalahan dadah sejak Oktober lalu.
Sejak itu juga pelawak Yassin Yahya tidak dapat dikesan dalam dunia hiburan sedangkan dia sedang aktif promosi bersama kumpulan pelawak Senario.
Kini pelawak Saiful Apek tampil memberi kenyataan meminta semua pihak bersabar dan menunggu penjelasan tuan badan yang akan kembali ke Malaysia sebelum Aidilfitri lapor Berita Harian.
“Dari maklumat keluarga, difahamkan Yassin akan pulang sebelum Aidilfitri ini. Kami berdiam diri kerana menghormati keluarga. Alhamdulillah, kami lega dapat tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku.
“Saya tak kisah orang nak cakap saya berat sebelah atau sengaja nak ‘cover line’, tapi apa yang boleh saya katakan, Yassin mungkin tidak pandai mana, tapi dia juga tak bodoh.
“Di Arab Saudi, jika terbabit dalam kes seperti ini (dadah), hukumannya hudud (bunuh), tiada pelepasan untuk dua atau tiga bulan,” katanya seperti dipetik berita Harian.
Pada masa sama dia memaklumkan ada berhubung dengan Yassin menerusi aplikasi zoom dan dapat melihat perubahan positif pada rakannya.
“Berat badan Yassin bukan sahaja bertambah dari ‘s’ ke ‘m’, tetapi lebih membanggakan, sudah khatam 20 juzuk al-Quran.
“Dia bukan ditahan di penjara, sebaliknya pusat pemulihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kedai runcit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Apek meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi dan menunggu tuan badan berkongsi cerita sebenar.
“Jadi, saya nak menyeru hentikan segala spekulasi, tunggu hingga tuan badan pulang.
“Biarlah Yassin sendiri menjelaskan apa yang berlaku. Dia bukan ditahan di penjara, sebaliknya pusat pemulihan.
“Saya lega melihat keadaannya baik di sana hingga boleh hafaz 20 juzuk al-Quran. Tiada perkara terjadi secara kebetulan dan saya gembira dengan perubahannya itu,” tambahnya.
Baca juga: Gedung terkenal buat buffet tapi ‘staff’ yang cedokkan, netizen kata dah macam asrama