“Mungkin ini cara Allah jemput dia ke sana” – Amyra Rosli akui berat hati lepaskan suami untuk 3 bulan

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak berat hati apabila suami akan meninggalkan keluarga dalam tempoh masa yang lama ditambah pula anak-anak masih kecil.

Tapi dengan perbincangan yang baik antara pasangan dan atas tujuan baik meskipun berat maka ia sedikit sebanyak meringankan kegusaran para isteri.

Di kala semua umat Islam masih meraikan Hari Raya Aidilfitri, pelakon Amyra Rosli sedang bersiap sedia untuk menempuhi kehidupan tanpa suami selama tiga bulan.

Suami kepada Amyra yang juga pelakon Amar Bahrin bakal mengikuti kembara #JourneyToTanahHaram menaiki basikal lapor HibGlam.

“Pada asalnya tak boleh terima sebab tiga bulan itu tempoh yang lama.

“Namun, selepas dia beritahu awal, saya dapat tempoh kawal emosi dan bercakap dengan diri sendiri bahawa Allah pilih dia ke sana dengan cara itu,” katanya seperti dipetik HibGlam.

Bagaimanapun sebagai isteri, dia tetap mendoakan kembara tersebut berjalan dengan lancar dan memberi sepenuh sokongan buat Amar.

“Kalau saya sebagai isteri tak menyokong dia, macam mana perjalanan dia nanti?

“Saya akan terus sokong, serahkan segala-galanya kepada Allah SWT semoga semua urusan dia dimudahkan,” ujarnya.

Mengakui kerisauan dengan jarak yang bakal memisahkan mereka buat sementara waktu itu, Amyra percaya suaminya akan sentiasa berada dalam jagaan Allah.

“Jujurnya sangat risau sebab lokasi itu jauh tapi saya serahkan semuanya pada Allah. Saya tahu dia akan jaga diri dan harap tiada perkara tak elok berlaku.

“Saya reda dengan perjalanan dia malah, itu cara Allah jemput dia ke sana. Kita perlu doakan untuk Amar setiap masa,” tambahnya.

Tidak keseorangan, Amar akan ditemani pendaki, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin untuk kembara yang bakal bermula 28 April ini.

Baca juga: Mimi Lana akui tak pernah pikat lelaki selain Syafiq Kyle, jatuh cinta di pertemuan pertama