Pelawak Saiful Apek, 56, membuat pengakuan bahawa dia adalah individu yang ditahan polis dalam video yang tular sejak kelmarin.
Mengesahkan perkara itu, Saiful berkata punca penahanannya disebabkan pergaduhan tetapi dia tidak berkongsi lanjut apa yang terjadi.
“Apa yang boleh saya katakan, ia disebabkan isu pergaduhan. Itu sahaja yang boleh dikongsi, tunggu saya berikan penjelasan sepenuhnya nanti,” katanya memetik BH Online.
Pada masa sama, Saiful meminta agar semua pihak tidak membuat sebarang andaian tidak benar mengenai isu itu.
Dia turut meluahkan rasa kecewa apabila video tersebut tersebar sehingga ada yang sanggup mereka-reka cerita.
“Kalau boleh henti sebarkan perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau kesahihan selagi tak dengar daripada mulut ‘tuan badan’.
“Tak perlulah nak buat andaian tak kira pihak mana sekalipun.
“Apapun tunggu saya berikan penjelasan selanjutnya. Jadi, tolonglah jangan sebar berita tidak sahih. Doakan yang terbaik buat saya,” kata Apek
Kelmarin, kecoh apabila sebuah portal melaporkan kelibat seorang pelawak memakai baju merah jambu yang menyamai Saiful Apek ditahan oleh dua anggota polis. Bagaimanapun, lokasi dan punca kejadian tidak dikenal pasti.