Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat ‘sedikit’ unsur pengkhianatan yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan (DUN) Negeri Sembilan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilakukan lebih awal.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan (PH) itu menjelaskan bahawa pengkhianatan itu secara khusus merujuk kepada tindakan yang boleh menjejaskan kerjasama dan kestabilan politik yang telah dipersetujui di Negeri Sembilan.
Menurutnya, terdapat percubaan untuk menggugat kepimpinan pentadbiran di Negeri Sembilan walaupun kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi di wilayah Adat Perpatih itu berada pada tahap yang baik, lapor Utusan Malaysia.
Anwar berkata demikian untuk mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiada isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran di peringkat negeri mahupun nasional sudah berakhir dan tamat.
“Kalau tak khianat, baguslah. Tetapi kalau kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha dalam keadaan stabil politiknya…ekonominya… Tetapi ada usaha-usaha untuk menjatuhkan.
“Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan (di Negeri Sembilan),” katanya memetik laporan Utusan Malaysia selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 (MAT-X) Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya).
Terdahulu, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan tersebut untuk menafikan dakwaan sesetengah pemimpin PH yang dikatakan melabel UMNO sebagai ‘pengkhianat’ susulan pengumuman PRN di Negeri Sembilan.
Menteri Kewangan itu bagaimanapun memaklumkan bahawa keputusan untuk mengadakan pilihan raya dengan lebih awal di sesuatu negeri itu sememangnya hak kerajaan wilayah berkenaan bagi menentukannya.
“Dalam soal Johor pula, itu terserahlah dia nak adakan pilihan raya lebih awal. Tetapi saya kata tumpuan kita menjana pertumbuhan ekonomi negara, masalah rakyat.
“Kalau dalam tiga empat bulan ini kita sibuk soal pilihan raya. Padahal kalau kita dapat dalam dua tiga bulan dalam keadaan krisis ekonomi, tumpu kepada perkara itu, itu yang saya maksudkan.
“Kalau tidak, tak ada khianat. Tak apalah. Tetapi maknanya kita harus tingkatkan kefahaman mengapa kerjasama dan muafakat itu penting dan bila ada keperluan pilihan raya pada masanya, jalanlah.” Ujarnya lagi.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menekankan bahawa jika tiada tindakan yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap semangat kerjasama dan muafakat politik, maka perkara itu tidak menjadi isu.
Baca juga: Malaysia bawa teknologi pertanian tempatan ke Uzbekistan, nilai perdagangan cecah RM338 juta!