“Saya nampak diri sendiri dalam adik ini” – Puteri Balqis borong jualan buah di jalanan

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon muda berbakat, Puteri Balqis memutuskan untuk memborong semua buah-buahan jualan seorang remaja ekoran bersimpati melihatnya meniaga di tepi jalan pada malam hari.

Remaja terbabit difahamkan meniaga di tepi jalan yang berhampiran dengan pusat beli-belah di ibu kota pada hampir setiap malam untuk membantu ibunya mencari rezeki.

Kegigihan remaja berkenaan membuatkan pemilik nama sebenar Puteri Balqis Azizi itu terharu sebelum membuat keputusan untuk memborong kesemua jualan penjaja cilik terbabit.

Pelakon berusia 18 tahun itu turut memuat naik rakaman di platform Instagram memaparkan lokasi remaja terbabit berniaga yang mana mereka berdua juga sempat masuk ke sebuah premis jualan mainan.

“Saya jalan-jalan dekat sini dan nampak adik Khairul jual buah untuk tolong ibu dia. Hari ini saya nak beli kesemua stok buah-buahan dia. Saya nampak diri saya dalam diri adik Khairul.

“Dahulu, kami juga pernah berada di tempat kamu,” kata pelakon drama bersiri popular iaitu Keluarga Itu di dalam perkongsian video dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memuji dan berkongsi rasa terharu dengan tindakan Puteri Balqis memborong kesemua jualan remaja lelaki terbabit.

Ramai juga pengguna sempat mengenang ujian dilalui pelakon terbabit suatu ketika dahulu ketika berhadapan dengan kesusahan hidup dan berpendapat pengalaman itulah yang berjaya membentuk sikapnya.

“Dia pernah hidup susah, sebab itu mudah tersentuh. Hati dia bersih dan jujur,” kata seorang pengguna yang tidak hairan dengan tindakan Puteri Balqis memborong jualan remaja lelaki terbabit.

“Semoga Allah melipat-gandakan rezeki Aqish. Dia selalu membantu orang tanpa kira waktu.” Kongsi pengguna lain yang mengirimkan doa ekoran terharu dengan sikap pelakon itu.

Terdahulu, Puteri Balqis pernah menjadi sorotan ramai berikutan berkongsi suasana di Hari Raya disambutnya bersama gelandangan sekitar ibu kota yang menjadi rutin pelakon terbabit untuk lebih mensyukuri nikmat hidupnya.

Baca juga: Pemilik kafe di Kelantan akui masih raih untung walau jual hidangan nasi ayam, laksa RM2