Bekas pelajar sekolah hadiahkan bas mewah sempena hari guru

Oleh ROSLAN ZAMAN

Tanggal 16 mei merupakan tarikh keramat bagi guru-guru di Malaysia apabila sambutan hari guru diadakan di seluruh sekolah di Malaysia bagi meraikan jasa dan pengorbanan mereka.

Biasanya pelajar-pelajar sekolah akan berusaha untuk memberi hadiah kepada guru mereka di sekolah pada waktu ini sebagai tanda penghargaan.

Lain ceritanya di sebuah sekolah berasrama penuh di Kelantan apabila sambutan kali ini ternyata berbeza. Mana tidaknya, bekas pelajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) ini menghadiahkan sebuah bas mewah kepada sekolah mereka.

Bas yang bernilai RM670,000 itu diberi pada sambutan hari guru di SESMA sebagai bukti cinta dan penghargaan kepada bekas tempat didikan mereka dahulu.

Majlis penyampaian hadiah istimewa yang disumbangkan oleh Persatuan Bekas Pelajar Sekolah SESMA (My SESMA) itu berlangsung dalam suasana penuh meriah. Bas itu diserahkan sendiri oleh Presiden My SESMA, Mohd Zuber Embong kepada Pengetua SESMA, Hayati A Rahman.

Melalui video yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Mysesma, jelas terpancar keterujaan warga sekolah, termasuk para guru dan pelajar, yang menyambut ketibaan bas tersebut.

Suasana majlis tersebut menjadi tular dan menerima pujian meluas daripada warga maya yang turut tersentuh dengan usaha murni para alumni berkenaan.

Difahamkan, selain bas, My SESMA juga turut menghadiahkan surau baharu untuk keselesaan warga sekolah.

baca: Lagi kes kematian kucing di UM, kali ini bangkai anjing turut ditemui di hentian bas