Berapa kutipan terkini Ejen Ali The Movie 2 dalam tempoh empat hari?

Oleh KIM SYAZIE

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kembali menggamatkan pawagam tempatan dengan sambutan luar biasa daripada penonton pelbagai peringkat usia.

Filem animasi yang dinanti-nantikan ini bukan sahaja membawa kesinambungan jalan cerita penuh aksi dan emosi, malah turut memperkukuh kedudukan francais Ejen Ali sebagai antara jenama animasi paling berjaya di Malaysia.

Kejayaan EATM2 merupakan hasil usaha berterusan pihak produksi dalam memastikan kualiti penceritaan dan animasi setanding dengan standard antarabangsa.

Seawal empat hari tayangan, termasuk dua hari tayangan bersama peminat, EATM2 berjaya mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM15.3 juta.

Pencapaian ini sekali gus membuktikan daya tarikan kuat yang dimiliki filem terbitan Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios dan Komet Productions.

Sambutan hebat daripada penonton turut membolehkan EATM2 mencatat sejarah sebagai tayangan pembukaan animasi tempatan terbesar apabila ditayangkan secara rasmi di 161 pawagam seluruh negara termasuk Brunei pada 22 Mei lalu.

Menurut kenyataan, tiket EATM2 terjual dengan pantas di pelbagai lokasi dengan beberapa pawagam mula menambah sesi tayangan bagi memenuhi permintaan penonton.

Pengarah EATM2 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation, Usamah Zaid Yasin meluahkan rasa syukur dengan kutipan filem diraih setakat ini.

“Alhamdulillah, sejak sesi ‘Fans Screening’ sehingga ke tayangan rasmi di pawagam, sokongan yang diterima sangat luar biasa.

“Bagi pihak produksi, kami berasa amat terharu dan gembira setiap kali membaca komen serta maklum balas daripada penonton.

“Semua ini sangat bermakna dan lebih menggalakkan kami sebagai pengkarya untuk terus mengusahakan naskhah Ejen Ali akan datang,” katanya dalam kenyataan itu.

Baca juga: “Aku siap mesej abang kepada bakal madu untuk pinang dia buat suami, sekali jawapan dia…”