Rakaman dikongsikan pempengaruh, Shaniena Natasya yang memaparkan suasana ketika suaminya membawa hadiah untuk jururawat di hospital telah mengundang perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, suami Shaniena yang dikenali sebagai DJ Twister itu membawa sekurang-kurangnya 10 beg kertas berisi loket emas untuk dihadiahkan kepada beberapa jururawat bertugas di hospital berkenaan.
Difahamkan, loket emas tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan daripada pemilik nama sebenar Choudhry Wasim itu terhadap para jururawat yang telah menjaga anak baru lahir dan isterinya sepanjang tempoh bersalin.
Berdasarkan rakaman berdurasi satu minit 21 saat dimuat naik Shaniena di akaun TikTok miliknya itu, dapat dilihat suami begitu teruja dan gembira ketika membawa beg berkenaan ke dalam wad isterinya.
Raut wajahnya juga seperti menggambarkan kegirangan hatinya dalam menyambut kelahiran cahaya mata sulung bersama Shaniena hingga sanggup mengeluarkan wang banyak untuk membelikan emas buat jururawat.
“Isteri beranak, tak dapat emas. ‘Nurse’ (jururawat) yang dapat emas,” tulis pempengaruh berkenaan dalam nada berseloroh menerusi perkongsian video yang kini sudah meraih sebanyak 1.8 juta tontonan.
Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati rakaman itu turut memperoleh tanda suka daripada 77,800 pengguna TikTok yang mana rata-rata memuji sikap dan tindakan suami Shaniena dalam menghargai petugas perubatan.
Beberapa individu juga turut meninggalkan komen yang mencuit hati berhubung layanan para jururawat selepas mendapat barang kemas seperti tidak mendapat bebelan atau leteran daripada mereka.
“Selalu jururawat akan tanya ibu, mahu ambil perancang apa selepas ini. Tetapi selepas (dapat hadiah) ini mestilah jururawat kata jangan merancang. Sebab anak itu rezeki,” seloroh seorang pengguna.
“Akhlak yang patut dicontohi. Menghargai para pasukan perubatan yang telah membantu beliau di dalam proses melahirkan cahaya mata pertamanya.” Kata pengguna lain yang kagum dengan sikap suami Shaniena.
Baca juga: Pakar kewangan bidas persepsi netizen yang anggap TikTok lebih lumayan berbanding Ijazah