“Ayah saya kacak, dia seorang perisik”- Jackie Chan kongsi detik bapa bongkar sejarah hidup

Oleh WAN SITI AMINAH

Bintang lagenda Hong Kong, Jackie Chan membuat satu pendedahan sangat mengejutkan baru-baru ini dengan mengakui bapanya iaitu Charles Chan sebenarnya adalah seorang perisik.

Jackie di dalam pendedahan tersebut turut menceritakan detik mendebarkan ketika bapanya yang menjadi perisik untuk kerajaan China pada tahun sekitar 1940-an itu membongkarkan rahsia berkenaan.

Menerusi temu bual eksklusif bersama majalah People, Jackie memaklumkan bahawa rahsia tersebut dibongkar oleh bapanya sendiri ketika mereka sedang berada dalam kereta dipandunya.

Lebih memeranjatkan, Jackie baru sahaja mengetahui bahawa nama keluarganya yang sebenar adalah Fong bukanlah Chan ketika rahsia tersebut dibongkarkan iaitu sewaktu usianya 40 tahun.

Perkara itu dikongsi oleh Jackie menerusi sesi temu bual berkenaan sambil menunjukkan foto lama yang diambil sewaktu zaman kecilnya bersama kedua-dua ibu bapanya iaitu Charles dan Lee-lee.

“Ayah saya kacak dan dia seorang perisik. Saya tahu pun ketika berumur sekitar 40-an. Sesuatu yang saya sendiri tidak jangka. Suatu hari, saya sedang memandu kereta dan ayah duduk di sebelah.

“Tiba-tiba dia membuka mulutnya memberitahu, ‘Anakku, ayah sudah tua. Mungkin nanti tidur dan tak bangun lagi. Ayah ada rahsia, awak bukan Chan. Tetapi nama sebenar awak adalah Fong’. Ketika itu saya terkedu.

“Memang sukar untuk menerima semua perkara yang muncul serentak secara tiba-tiba. Saya memang tidak pernah tahu sejarah silam ayah,” katanya memetik laporan Majalah People.

Menurut Jackie, ayahnya yang memiliki nama sebenar Fong Daolong itu kemudian melarikan diri ke Hong Kong untuk mengelak daripada ditangkap oleh kerajaan Komunis pada sekitar tahun 1950-an.

Kisah keluarga Jackie bukanlah sesuatu yang asing untuk peminatnya memandangkan pelakon itu pernah terlibat dalam dokumentari bertajuk Traces of the Dragon: Jackie Chan and His Lost Family yang diterbitkan pada 2003.

Dokumentari yang mengangkat kisah silam kedua orang tuanya itu menceritakan perjalanan si bapa selaku perisik di era perang saudara China dan ibunya, Lee-lee yang dikatakan pernah terbabit dalam aktiviti penyeludupan candu dan perjudian.

Pelakon terbabit juga sempat mengimbas zaman kanak-kanaknya yang selalu terlibat dalam pergaduhan hingga mendorong bapanya menghantarnya ke sekolah khusus untuk mempelajari seni mempertahankan diri.

“Semasa kecil, saya adalah kanak-kanak yang nakal dan kerap bergaduh dengan budak lain. Kalau ayah tahu, dia pukul saya dan pergi ke rumah kawan yang dikasari untuk meminta maaf.

“Kemudian bapa mulai mengesan kecenderungan saya dalam seni mempertahankan diri. Lalu menghantar saya ke kelas untuk belajar seni bela diri. Disebabkan tiada duit untuk berhibur, cara kami berseronok dengan berlawan.” Ujarnya.

Baca juga: Terkenal sebab buat mukbang makan ‘makeup’, keluarga akhirnya kongsi khabar duka