Kisah remaja yang hilang ketika mencari lembu baru-baru ini menggemparkan masyarakat setempat.
Ibu kepada remaja lelaki berkenaan, Siti Norehan Azhar menceritakan semula apa yang dialami anaknya, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15.
Apa yang pelik, remaja berkenaan mendakwa dia langsung tidak sedad masa berlalu lebih 31 jam.
“Apa yang pelik, Aidil cerita dia tak sedar langsung masa yang berlalu. Dia sangka baru beberapa jam, sedangkan kita dah mencarinya lebih 31 jam.”
Muhamad Aidil dilaporkan hilang ketika keluar mencari lembu sejak malam Rabu lalu, sebelum ditemui dalam keadaan lemah terbaring di bawah pokok di kawasan semak sebuah kebun kelapa kira-kira jam 1.57 pagi Jumaat.
Menurut Siti Norehan, anak keduanya daripada enam beradik itu hanya tersedar selepas dikejutkan oleh anggota bomba yang menemuinya.
“Selepas insiden ini, saya berat hati untuk benarkan dia jaga lembu sepupu lagi. Saya percaya mungkin Aidil dah berada di ‘alam lain’ sebab kita tahu makhluk halus ini memang wujud seperti disebut dalam hadis,” katanya memetik Sinar Harian.
Bagaimanapun dia mengakui hairan bagaimana anaknya boleh berjalan sejauh itu tanpa disedari oleh puluhan anggota pasukan keselamatan dan penduduk kampung yang mencarinya siang dan malam.
“Namun saya tak menolak ada kaitan dengan unsur mistik. Sebab itu saya serik nak benarkan Aidil jaga haiwan ternakan lagi,” ujarnya.
“Ramai pesan, anak saya dah ‘ditanda’ oleh ‘alam sebelah’. Takut-takut lepas ini Aidil ‘diambil’ terus.
Hilang tiga hari pun saya dah macam nak gila, inikan pula kalau berlaku lagi dan lebih lama daripada itu… saya tak tahu bagaimana nak hadapi keadaan begitu,” katanya lagi.
Baca juga: Suri rumah dapat RM7K hantar ‘parcel’