Konon tawar pakej haji dengan bayaran awal serendah RM10k, TH Travel tampil buat penafian

Oleh MAISARAH AISYA

Masih wujud segelintir yang sanggup menangguk di air keruh, memperdaya orang ramai dengan penipuan berkaitan ibadah haji.

Sesetengah individu kurang arif tentang prosedur rasmi menunaikan haji melalui agensi berlesen seperti Lembaga Tabung Haji dan ini membuka ruang kepada penipuan yang menyamar kononnya mewakili agensi sah.

Tular mengenai “Program Haji Infaq Masyarakat” yang didakwa menawarkan pakej haji kelolaan TH Travel berharga RM123,990 dengan bayaran awal serendah RM10,000.

Disebabkan itu TH Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel) tampil membuat penafian bahawa syarikat mereka terlibat dalam program berkenaan.

Dalam kenyataan dikeluarkan TH menjelaskan bahawa syarikat tidak melantik individu, syarikat luar atau entiti untuk mempromosi sebarang pakej haji atau umrah.

Jelas kenyataan tersebut, semua bayaran berkaitan pendaftaran dan deposit pakej haji yang dikendalikan TH Travel hanya boleh dibuat melalui akaun rasmi TH sahaja.

“TH Travel tidak menawarkan pakej subsidi atau tajaan luar yang memerlukan jemaah membayar kepada akaun bukan rasmi atau individu.

“TH Travel tidak terlibat dalam sebarang bentuk kutipan dana melalui syarikat pembersihan, perniagaan kek atau perantaraan pihak ketiga,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama TH memaklumkan laporan polis telah dibuat berikutan penyalahgunaan nama dan reputasi syarikat itu untuk menipu umat Islam yang berniat menunaikan ibadah haji.

“Kami difahamkan laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“TH Travel bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menangani kes ini,” tambahnya.

Baca juga: Remaja tak sedar pun menghilang 31 jam, kongsi cerita sebenar apa yang jadi kepadanya