Pempengaruh sensasi, Ameera Khan kembali mencuri perhatian ramai selepas membuat pendedahan tentang asal-usul keturunannya dalam satu sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya baru-baru ini.
Dalam sesi siaran langsung tersebut, pempengaruh yang juga dikenali sebagai Little Miss Khan (LMK) itu mengakui langsung tidak memiliki darah Melayu berikutan bapanya berasal dari Pakistan manakala ibunya berketurunan Arab.
Namun Ameera masih fasih berbahasa kebangsaan selain mahir bertutur di dalam dialek Kelantan walaupun tidak memiliki darah Melayu memandangkan ibunya iaitu Noor Karitini lahir di negeri berkenaan.
“Saya bukan tak nak mengaku diri ini berbangsa Melayu. Tetapi memang ibu dan ayah saya tidak memiliki darah Melayu. Jadi nak mengaku Melayu buat apa? Saya tidak memiliki darah campuran Melayu.
“Ibu saya berdarah Arab, ayah saya berdarah Pakistan, tak ada darah Melayu. Tetapi saya dilahirkan dan dibesarkan di sini. Sudah tentu boleh bercakap Melayu dan berdialek Kelantan terutamanya.
“Kalau tak boleh juga, memang kena tampar muka saya!,” katanya dalam nada berseloroh menerusi siaran langsung yang sempat dirakam oleh penonton sebelum dimuat naik semula di platform TikTok.
Adik kepada usahawan selebriti iaitu Noor Neelofa itu juga memaklumkan dirinya sebelum ini terpaksa mengiyakan pertanyaan orang ramai mengenai jenis bangsanya yang dikatakan Melayu kerana tidak mahu dituduh lupa diri.
Namun pempengaruh berusia 25 tahun berkenaan tidak dapat memberi penjelasan secara terperinci mengenai bagaimanakah keluarga ibunya boleh mula bermastautin di Kelantan kerana tidak mengingatinya dengan jelas.
“Bagaimana ibu dan keluarganya boleh bermastautin di Kelantan, saya tahu ceritanya tetapi sudah tak ingat. Datuk juga pernah ceritakan kepada saya. Hal ini kena tanya kepada ibu saya.
“Apabila orang tanya Melayu ke tak, saya cakap sahajalah Melayu. Sebab senang. Kalau tak cakap begitu nanti orang kata saya pula yang tak sedar diri, orang Kelantan tetapi tak mengaku Melayu.
“Bukan tak nak mengaku, tetapi memang ibu ayah saya tiada darah Melayu.” Ujar pemilik nama sebenar Ameera Abdul Halim Khan dalam rakaman berdurasi empat minit enam saat tersebut.
Baca juga: Beratur 2km demi raja buah, durian percuma jadi rebutan!