Juadah yang dihidangkan pada Hari Raya seperti rendang tidak boleh dibiarkan terdedah begitu sahaja dan perlulah disimpan dengan sangat berhati-hati sekiranya enggan ia menjejaskan kesihatan anda.
Hal ini kerana, rendang hanya selamat untuk dimakan di dalam tempoh empat jam sahaja jika disimpankan dalam suhu bilik sebelum bakteria yang berada pada makanan itu mulai menjadi aktif.
Sehubungan dengan itu, pihak Public Health Malaysia (PHM) tampil memberikan amaran kepada orang ramai bersama dengan kaedah penyimpanan yang tepat supaya hidangan perayaan tersebut tahan lama.
PHM dalam hantaran dikongsikan di platform Facebook itu memberitahu bahawa hidangan berkenaan mulanya perlu dimasak sehingga kering berikutan kelembapan adalah sumber pertumbuhan bakteria.
Rendang yang telah dimasak hingga kering itu kemudian bolehlah disimpankan dalam bekas kecil terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk memastikan bakteria tidak tumbuh.
Lalu apabila tibanya waktu untuk juadah itu dihidangkan, rendang bolehlah dinyahbeku semula di dalam ketuhar gelombang mikro atau dibiarkan di suhu bilik sebelum dipanaskan.
“Panaskan di dalam kuali dengan api perlahan. Pastikan pemanasan dibuat dengan sekata. Pemanasan semula perlu dilakukan dalam masa dua jam selepas dikeluarkan.
“Hidang dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Jangan pula hidang dalam bekas besar dan ceduk dari bekas tersebut,” kongsi PHM menerusi akaun Facebook rasminya.
Jelas PHM lagi, rendang perlulah disimpan di dalam peti sejuk beku bukanlah peti ais biasa bagi memastikan hidangan tersebut dapat bertahan dalam tempoh tiga bulan.
“Jika disimpan di dalam peti sejuk, rendang dapat bertahan dalam tempoh tiga hari. Manakala rendang yang disimpan dalam peti beku pula bertahan selama tiga bulan.” Jelasnya.
Baca juga: Rugi kalau tak tahu! Ini 3 trik simpan petai kekal ‘fresh’ setahun lamanya!