Bukan biasa-biasa! Filem animasi tempatan berjaya raih lebih RM50 juta dalam masa 18 hari

Oleh MAISARAH AISYA

Dapat dilihat bahawa animasi tempatan kini setanding dengan karya antarabangsa, menampilkan kualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran global.

Bukan lagi terhad kepada tontonan dalam negara, animasi keluaran Malaysia semakin mendapat tempat di hati penonton luar, membuktikan bakat tempatan mampu bersaing di peringkat dunia.

Siapa sangka filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) berjaya mencatat kutipan sebanyak RM50.7 juta selepas 18 hari tayangan lapor Harian Metro.

Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti apabila semua pihak berganding bahu dan peminat terus memberikan sokongan, impian besar mampu menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diberikan terhadap EATM2.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan produksi serta tenaga pemasaran yang bertungkus-lumus mempromosi filem ini sejak tayangan hari pertama.

“Mereka berani mencuba pelbagai pendekatan kreatif demi mendekati penonton, dan hasilnya sangat memberangsangkan.

“Terima kasih juga kepada penonton dan peminat yang sentiasa menyokong kami. Filem ini adalah untuk anda semua,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof menganggap kehjayaan ini membuktikan kandungan tempatan yang berkualiti mampu menarik penonton.

“Kejayaan EATM2 bukan hanya soal angka kutipan box office, tetapi mencerminkan keyakinan penonton terhadap kandungan buatan Malaysia.

“Ia menyuntik semangat baharu buat kami untuk terus melabur dalam industri animasi tempatan.

“Ini seterusnya akan membawa jenama Ejen Ali ke persada antarabangsa bersama rakan strategik terpilih,” jelasnya.

Baca juga: Rendang rupanya hanya selamat dimakan dalam masa 4 jam, PHM kongsi tips simpan juadah agar tahan lama