Rafizi Ramli datang kemas pejabat, beri bayangan kekal keputusan letak jawatan

Oleh WAN SITI AMINAH

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli seperti memberi gambaran jelas mengenai perletakan jawatannya dengan hadir mengemas dan menyelesaikan urusan terakhirnya di pejabat kementerian.

Rafizi menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun X miliknya itu berkongsikan sekeping gambar bersama lima pegawainya selain memaklumkan bahawa kehadirannya ke pejabat berkenaan adalah untuk buat terakhir.

Menurut Rafizi, lima pegawai dasar terbabit telah banyak membantunya malah rela untuk meninggalkan kerjaya profesional mereka demi menyokong dan merealisasikan visi ekonominya.

“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir. Termasuk mengemas pejabat. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu.

“Mereka membantu mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi. Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya.

“Daripada cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dasar upah progresif serta pelan pembangunan RMK13,” katanya dalam perkongsian itu.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan bahawa pegawai berkenaan sebelum ini turut membantu dalam menterjemahkan ideanya agar dapat dilaksanakan dan mereka kini akan kembali ke bidang masing-masing.

Pasukan itu terdiri daripada pakar endokrinologi lulusan University of Cambridge, Dr Azraai Bahari Nasruddin; bekas pengurus dana berkelulusan kewangan dari Monash University dan sarjana Matematik Gunaan dan Komputasi dari Johns Hopkins University, Benjamin Quek.

Selain itu pelajar terbaik undang-undang dari University of London dan lulusan sarjana undang-undang dari Oxford University, James Chai; lulusan kelas pertama bidang PPE (Politics, Philosophy and Economics) dari London School of Economics, Ismat Qayyum serta graduan Politik dan Hubungan Antarabangsa dari University of Nottingham, Haqimi Zamri.

Terdahulu, Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak menghantar surat peletakan jawatan selepas kalah dalam pemilihan PKR yang berlangsung pada bulan lalu.

Perletakan jawatan itu bagaimanapun belum diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mahu memberi masa untuk mereka berfikir sebelum melepaskan kedudukan dalam Jemaah Menteri.

Baca juga: Kawan lesap lepas pinjam slip gaji beli telefon baru, wanita ketakutan dikejar ‘debt collector’