Isu pelakon baharu buat perangai di set penggambaran bukanlah satu benda baru malah sudah diutarakan banyak artis senior.
Pelakon Kamal Adli memaklumkan dia sudah kerap mendengar luahan pelakon senior lain mengenai sikap mereka yang baru bertapak dalam industri lapor Berita Harian.
“Cerita-cerita ini banyak sampai ke telinga saya. Kerap main telefon itu sudah biasa sangat. Sudahlah tidak dalami skrip, jumpa senior buat tak tahu pula.
“Apabila kita bekerja dengan artis senior, telefon memang tiada di tangan mereka. Biasanya, mereka fokus, duduk berborak atau ajak berlatih.
“Budak-budak baharu pula ada yang sibuk main telefon dan muat naik hantaran media sosial. Saya pun tidak tahu tahap serius mereka dalam industri seni ini.
“Tidak pasti mereka mahu jadi pempengaruh, pelakon atau selebriti,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Bagi Kamal dia melihat pelakon baru hanya menganggap lakonan sebagai kerja sambilan dan memberi fokus untuk menjadi pempengaruh.
“Kita berada dalam industri yang profesional. Orang-orang dalam industri ini mereka sentiasa bersedia dan tahu kerja masing-masing.
“Bagi sesetengah pelakon baharu, mungkin mereka anggap lakonan ini hanyalah pendapatan sampingan.
“Mungkin pendapatan sebagai pempengaruh atau perniagaan mereka lebih besar,” ujarnya.
Dalam masa Kamal menasihati mereka untuk menjaga tingkah laku dan memahami etika pekerjaan sebagai pelakon.
“Ketika ini, mungkin saya sudah boleh bercakap memandangkan saya juga sudah agak senior. Kepada adik-adik baharu, anda kena faham. Mungkin senior ini tidak banyak bercakap.
“Tetapi tingkah laku anda akan beri impak kepada kami. Anda sepatutnya sudah tahu apa undang-undang apabila masuk ke set.
“Kalau anda sudah bersedia 100 peratus, tahu hendak lontarkan dialog dan jayakan babak, tidak mengapa.
“Kalau semuanya baharu hendak belajar di set penggambaran, anda kena fikir semula bidang yang mahu diceburi ini,” jelasnya.
Baca juga: Pekerja terkejut bos buat peraturan wajibkan semua orang kongsi ‘live location’ kalau mohon MC, AL..