Cari haiwan ternakan terjumpa mayat reput, tergantung di pokok dalam ladang sawit

Oleh MALAYSIADATELINE

Penduduk Felda Gunung Besout 2, Trolak, Tanjung Malim semalam dikejutkan dengan penemuan satu mayat reput yang dijumpai dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok di sebuah ladang sawit.

Difahamkan, mayat terbabit ditemukan oleh orang awam yang ketika itu sedang mencari haiwan ternakannya iaitu lembu di sekitar kawasan ladang sawit berkenaan pada petang Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pada pukul 5.13 petang.

Pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati mayat itu ditemui tergantung pada dahan pokok yang terletak kira-kira 10 meter dari jalan utama dalam keadaan reput teruk dan juga tidak berpakaian, lapor Berita Harian.

Mayat itu berkemungkinan adalah wanita berketurunan India berdasarkan penemuan sehelai coli berhampiran dengan lokasi kejadian selain seutas rantai ‘thali’ yang dipakai di leher si mati.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada si mati. Polis menemui sehelai coli wanita dalam longkang berhampiran serta sepasang selipar biru (bersaiz 40) berdekatan lokasi kejadian.

“Selain itu, terdapat juga seutas rantai ‘thali’ iaitu barang perhiasan lazimnya dipakai oleh wanita India yang telah berkahwin ditemui pada leher si mati menunjukkan mangsa mungkin berketurunan India,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Mohd Hasni memaklumkan bahawa mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk dibedah siasat.

Pihak polis juga meminta orang ramai terutama mereka yang mengalami kehilangan ahli keluarga, saudara-mara mahupun kenalan untuk tampil dalam membantu proses pengecaman mayat.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat dan siasatan lanjut.

“Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Balai Polis Trolak yang memangku tugas, Sarjan Mohamad Rizal Sahiaren di talian 017-5603331 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di 05-4528222.” Ujarnya.

Baca juga: Pekerja terkejut bos buat peraturan wajibkan semua orang kongsi ‘live location’ kalau mohon MC, AL..