Diperli bertukar lelaki macam lampin pakai buang, netizen tampil pertahan Noor Nabila

Oleh WAN SITI AMINAH

Kakak kepada usahawan selebriti, Noor Neelofa iaitu Noor Nabila baru-baru ini membuat pengakuan bahawa dirinya kini berada di dalam fasa mengenali hati budi seseorang yang tidak didedahkan identitinya.

Namun siapa sangka, kenyataan dikeluarkan Nabila yang juga merupakan bekas isteri kepada pelakon terkenal iaitu Sharnaaz Ahmad itu telah mengundang perbincangan hangat di media sosial.

Terutamanya selepas seorang individu bertindak memuat naik tangkap layar memaparkan artikel yang menyiarkan kenyataan daripada Nabila itu menerusi satu hantaran di platform Threads.

Individu terbabit kemudian menulis kapsyen dalam nada sindiran dengan bertanyakan tips atau petua dari Nabila kerana mudah mencari pasangan selepas beberapa kali gagal dalam perkahwinan.

“(Minta) Tips sedikit, Kakak. Mudahnya dia bertukar lelaki. Macam tukar lampin pakai buang anak dia,” tulis individu terbabit menerusi hantaran dimuat naik di akaun Threads miliknya itu.

Tindakan individu terbabit bagaimanapun tidak disambut baik oleh rata-rata pengguna Threads yang tampil untuk mempertahankan Nabila di ruangan komen perkongsian berkenaan.

Ramai pengguna berkongsikan pendapat serupa bahawa wanita berusia 40 tahun itu berhak mencari kebahagiaan sendiri dan meneruskan kehidupannya dengan mencari pasangan baharu selepas bercerai.

“Apa maksud awak, Nabila bertukar lelaki macam tukar lampin pakai buang? Dia sudah beberapa tahun bercerai dengan bekas suaminya. Saya bukan peminat mahupun pembencinya. Tetapi secara logiknya, dia berhak mencari kebahagiaan sendiri juga,” kata seorang pengguna.

“Nabila ini bagus orangnya. Meskipun banyak kali bercerai, tetapi dia tidaklah meroyan. Dia ada ‘kelas’ dan menikmati hidupnya. Cuma belum jumpa pasangan yang betul-betul sepadan. Nabila juga tak serik untuk cuba bahagia. Masa solo pun tak menggedik.” Kongsi pengguna lain.

Sekadar info, Noor Nabila pertama kali berumah tangga pada Julai 2013 namun sayangnya perkahwinan itu tidak bertahan lama sebelum memutuskan untuk berpisah pada 2014.

Nabila kemudian kembali bergelar isteri pada Mac 2017 selepas melangsungkan perkahwinan dalam majlis cukup meriah dengan Sharnaaz Ahmad sebelum mereka berdua disahkan bercerai pada Julai 2020.

Hasil perkongsian hidup bersama, Nabila dan Sharnaaz dikurniakan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki iaitu Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun.

Tidak lama kemudian, Nabila menikah dengan usahawan yang juga bekas suami kepada penyanyi dan pelakon, Erra Fazira iaitu Engku Emran pada 19 Mac 2021 sebelum membawa haluan masing-masing dua tahun selepas itu.

Baca juga: Apa yang sedang berlaku dalam ekonomi Malaysia? Ini 3 perkara penting tentang kedudukan sebenar ekonomi