“Bawa watak ‘ayam tua’, berkemban dalam drama bukan cerminan diri saya” – Ellie Suriaty

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang pelakon yang benar-benar menjiwai wataknya sanggup mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan lakonannya tampak hidup dan meyakinkan.

Kesungguhan ini bukan sekadar soal bakat, tetapi juga komitmen tinggi terhadap seni lakonan dan rasa tanggungjawab terhadap watak yang dibawa.

Buat pelakon Ellie Suriaty dia menegaskan bahawa babaknya berkembang dalam drama bersiri itu hanyalah lakonan semata-mata lapor Astro Gempak.

Jelasnya watak Juwita dalam drama bersiri Hilang Kasyorga bukanlah cerminan dirinya, namun ia adalah karakter yang membawa mesej.

“Itu bukan Ellie Suriaty, itu adalah watak Juwita. Dalam barisan pelakon yang ramai, apabila Jalena Rejab menghubungi saya untuk menyertakan saya di dalam barisan ini, sudah tentu saya ambil peluang ini.

“Pertama sebab ini adalah cerita yang sangat realistik, sangat raw dan walaupun saya hanya memegang watak sebagai Juwita iaitu seorang ‘ayam tua’ sebanyak tiga babak sahaja tetapi itu adalah babak yang penting,” jelasnya seperti dipetik Astro Gempak.

Ellie menjelaskan bahawa Hilang Kasyorga bukan sahaja mengangkat kisah anak jalanan, tetapi turut memaparkan realiti kehidupan masyarakat lorong, termasuk wanita yang terpaksa menggadai maruah demi kelangsungan hidup.

“Kehidupan orang-orang lorong disekeliling itu sebagai contoh ibu kepada Rudy (lakonan Kamal Adli), iaitu watak Juwita yang saya bawa.

“Wanita-wanita ini terlalu mengharapkan kepada kewangan sehingga sanggup menjual maruah diri walaupun usia sudah senja.

“Cerita mengenai kanak-kanak yang utama sebab itulah tajuknya Hilang Kasyorga. Selain itu, naskhah ini juga turut mengetengahkan realiti kehidupan orang-orang di lorong,” kongsinya.

Baca juga: Banglo Sajat bakal jatuh harga paling murah pada lelongan kali kelima nanti