Fattah Amin doakan Amira Othman cepat sembuh, hadiahkan sejambak bunga tulip?

Oleh WAN SITI AMINAH

Status sebenar hubungan di antara pelakon, Fattah Amin bersama penyanyi iaitu Amira Othman masih lagi menjadi tanda tanya sehingga kini walaupun kedua-dua selebriti terbabit dilihat semakin akrab.

Malah kehadiran Fattah ke hospital untuk melawat Amira yang menerima rawatan selepas mengalami keracunan makanan baru-baru ini turut menjadi topik perbincangan hangat di kalangan peminat mereka.

Hal ini kerana pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin itu tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya dipercayai turut membawa sejambak bunga tulip untuk dihadiahkan buat Amira.

Perkara ini dapat dilihat menerusi satu hantaran gambar memaparkan Amira sedang memegang sejambak bunga dipercayai diberinya yang dimuat naik di akaun Instagram milik pelakon berusia 34 tahun berkenaan.

Walaupun Fattah hanya menggelarkan Amira sebagai ‘rakan sekerja’ dalam ruangan kapsyen hantaran tersebut, namun pelakon itu dilihat menggunakan lagu romantis nyanyian Judika iaitu Sampai Akhir sebagai muzik latar.

“Semoga cepat sembuh rakan sekerja, Amira Othman,” tulis Fattah dalam ruangan kapsyen hantaran yang kini sudah memperoleh sebanyak 131,751 tanda suka daripada pengguna Instagram itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna mengirimkan doa agar Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman segera diberikan kesembuhan daripada sebarang penyakit.

Ramai juga pengguna turut meninggalkan komen usikan terhadap kedua-dua selebriti itu dengan mempersoalkan kemesraan ditonjolkan oleh mereka di sebalik hubungan sebagai ‘rakan sekerja’.

“Rakan sekerja saya tak pernah pun beri ucapan sebegini. Ini kategori istimewa,” kata seorang pengguna mengusik Fattah berhubung tindakannya memuat naik gambar Amira di akaun Instagram miliknya.

“Semoga cepat sembuh Kak Long. Terima kasih juga buat Abang Long sebab berikan bunga.” Usik pengguna lain dalam ruangan komen menggunakan gelaran peminat terhadap kedua-dua selebriti itu.

Terdahulu, hubungan Fattah dan Amira mula dijadikan topik perbincangan oleh peminat sejak hujung tahun lalu selepas mereka berdua sering bekerjasama hingga timbul spekulasi bahawa mereka berdua bakal berkahwin.

Mereka berdua bagaimanapun senada ketika memberi penjelasan bahawa ‘kerjasama’ yang terjalin setakat ini hanyalah sebatas rakan sekerja sahaja sewaktu dipersoal mengenai status hubungan.

Baca juga: Banglo Sajat bakal jatuh harga paling murah pada lelongan kali kelima nanti