Naim Daniel komited bersihkan nama dari tuduhan amang seksual, minta doa orang ramai

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.

Bagaimanapun Naim atau nama sebenarnya, Naim Daniel Baharin membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan yang dijatuhkan ke atasnya itu dibacakan di hadapan Hakim, Datin M Kundasamy.

Penyanyi berusia 27 tahun itu ketika ditemui pihak media di luar perkarangan Mahkamah Sesyen memohon untuk diberikan ruang supaya dapat membersihkan namanya semula, lapor Berita Harian.

Naim juga bersedia untuk memberikan kerjasama kepada sistem keadilan Malaysia namun enggan memberi ulasan panjang mengenai kes tersebut agar tidak mengganggu proses perbicaraan di mahkamah.

“Saya baru sahaja didakwa untuk satu tuduhan berat dan saya faham semua ada persoalan, banyak tanda tanya dan mengejutkan setengah pihak juga. Buat masa sekarang, saya belum bercadang mengulas panjang mengenai perkara ini.

“Kerana masih berada di peringkat awal. Saya juga tidak ingin ada sebarang campur aduk yang mungkin boleh mengganggu perbicaraan nanti. Saya serahkan semua kepada sistem keadilan.

“Saya juga komited memberi kerjasama penuh untuk membersihkan nama. Saya harap dapat doa daripada semua orang. Saya mahu fokus kepada ‘well being’ (kesejahteraan diri) sahaja,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun 7 bulan bagi tujuan seksual pada 19 Mei lepas jam lebih kurang 8.56 malam di Ukiyo Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 14(a) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan jika disabitkan kesalahan, Naim berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan hukuman sebat.

Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin manakala pelantun lagu popular iaitu Sumpah itu diwakili peguam, Datuk Amirul Ridzuan dan Mohd Irwan Sumadi.

Amirul ketika ditemui di lokasi sama memberitahu pihak media bahawa mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan RM12,000 bersama syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh pada 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes amang seksual membabitkan selebriti terbabit terhadap remaja bawah umur dipercayai merupakan peminatnya.

Terdahulu, Naim Daniel ditahan oleh pihak polis pada 3 Jun lalu selepas disyaki telah melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Maklumat tersebut diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas selebriti berkenaan yang mana suspek dan mangsa dikatakan berkenalan kira-kira dua bulan lalu sebelum pertama kali dibawa ke hotel ketika kejadian.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan sebelum Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kemudian memberitahu bahawa arahan tuduh ke atas suspek diperoleh daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.

Jelasnya, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Baca juga: “Bawa watak ‘ayam tua’, berkemban dalam drama bukan cerminan diri saya” – Ellie Suriaty