Malaysia pecut 11 anak tangga, kini Top 25 dunia dalam Ranking Daya Saing

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025, menjadikannya pencapaian terbaik negara sejak tahun 2020.

WCR 2025 yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berpangkalan di Switzerland menyaksikan lonjakan Malaysia dalam kalangan 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa pencapaian itu mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi negara dan keberkesanan usaha pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, ia mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 seperti yang disasarkan Kerangka Ekonomi MADANI.

“Kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor utama iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan,” kata MITI.

Sementara itu Malaysia kini berada di kedudukan ke-4 terbaik dunia bagi faktor Prestasi Ekonomi, naik empat anak tangga berbanding kedudukan tahun lalu, manakala Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan masing-masing meningkat lapan anak tangga.

Sub-faktor Perdagangan Antarabangsa turut menunjukkan peningkatan ketara, melonjak 11 anak tangga ke tempat ke-6, didorong pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran, serta peningkatan ketibaan pelancong — sekali gus mengukuhkan lebihan dagangan negara.

MITI menjelaskan, pencapaian ini juga hasil kerjasama pelbagai agensi melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Jawatankuasa itu menyelaras hala tuju strategik bagi memperkukuh ekosistem daya saing negara.

Baca juga: Naim Daniel komited bersihkan nama dari tuduhan amang seksual, minta doa orang ramai