Kalau rasa diri belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami, lebih baik jangan terburu-buru berkahwin.
Jangan seksa pasangan dengan sikap seolah-olah masih bujang walaupun status sudah berubah.
Malangnya, ada juga yang selepas bernikah masih sibuk melepak dengan rakan-rakan, sedangkan isteri dibiarkan bersendirian di rumah.
Seorang wanita yang baru melahirkan anak meluahkan rasa kecewa terhadap sikap suaminya yang lebih mengutamakan kawan daripada dirinya dan anak mereka.
Kisah di bawah di ambil dari portal luahan perasaan dalam talian.
Aku wanita 20-an. Sudah berkahwin dan baru melahirkan seorang cahaya mata serta masih dalam pantang. Aku seorang wanita bekerja.
Pada mulanya aku rasa mungkin pembawakan selepas bersalin. Tapi fikir fikir, benda ni terjadi dari zaman sebelum ada anak lagi.
Aku berkahwin pada tahun 2022. Masih awal lagi. Ada yang cakap masih fasa pengantin baru lagi. Tapi aku tidak. Bermacam dugaan berlaku pada rumah tangga aku.
Suami aku sebaya dengan aku. Masih 20-an. Awal perkahwinan dia bekerja sektor perkilangan. Gaji pun agak lumayan.
Permulaan tawar hati aku bermula bila fasa nak masuk setahun perkahwinan, kami masih berdua masa itu.
Suami aku banyak lebihkan kawan dari isteri. Lepak sampai pagi. Adakala sampai bawa ke rumah.
Hujung minggu kami berdua memang tiada masa berdua. Dating? jauh sekali. Kadang kala aku nak juga berdua suami isteri macam zaman bercinta.
Tapi mesti suami akan ajak kawan sekali. Aku dah bercakap dengan dia. Tapi berubah hanya sekejap. Lepastu buat balik.
Suami kantoi curang
Aku diuji lagi dengan suami curang. Kantoi bergambar dengan perempuan di kilang dan dia simpan dalam folder rahsia.
Allah mungkin nak gerakkan hati aku untuk tengok telefon dia. Ternampak satu folder pelik, bila tekan perlukan password.
Aku try tekan akhirnya keluar juga. Ternampak sekeping gambar mesra suami dan kawan kerjanya. Memang berbeza wajah gembira bila berselfie dengan aku berbanding perempuan tu. Kecewanya hati.
Bila ditanya, dia cakap nak hantar gambar tu kepada kenalan, tetapi tertekan save di folder privasi. Aku iyakan tanda malas bergaduh.
Nak masuk tahun kedua perkahwinan. Aku diuji lagi. Suami berhenti kerja. Alasan nak cari kerja lain.. Environment tak best katanya.
Kebetulan aku baru tahu aku mengandung masa ini. Dia cakap nak cari kerja lain. Mungkin dugaan aku mengandung.
Sampai sekarang suami masih tidak bekerja. Dan sampai anak dah keluar masih tidak dapat kerja. Aku nampak dia ada usaha cari kerja. Tapi mungkin dugaan untuk keluarga kecil kami.
Untuk pengetahuan semua, dia ada juga buat part time kerja. Tapi hasilnya tidak la banyak. Hanya cukup untuk seminggu dua makan.
Sepanjang aku mengandung, aku mengidam semua aku beli sendiri. Walaupun aku ajak dia teman, ada je alasan dia tapi bila kawan dia ajak lepak. Kemain laju ye.
Aku ingat bila dah berbadan dua, dia dah tak lepak. Hmmm sama je. Pergi mana pun semua ajak kawan.
Sampai satu tahap, aku jalan seorang diri dengan perut memboyot. Gembirakan diri sendiri sahaja.
Aku pernah luah perasaan bila ada masalah. Tapi dimarahnya, katanya aku layankan perasaan, terlalu memikir sangat.
Sedangkan aku bukan mahu penyelesaian, aku mahu orang mendengar. Sejak dari itu aku tidak pernah meluah hanya memendam.
Bila di fasa dua tahun perkahwinan ni dan ada cahaya mata. Segala pembelanjaan aku tanggung. Aku tak berkira.
Tetapi kalau tak mampu sumbang kewangan. Mungkin sumbang tenaga dan prihatin kat aku.
Keluar lepak masa isteri berpantang
Masa aku pantang pun masih lepak dengan kawan sampai jam 1 ke 2 pagi. Aku yang berjaga tiap hari menjaga anak.
Yelah baby kan tiap dua jam nak bangun nak susu. Aku harapkan prihatin dekat aku cukup la. Hmm jauh sekali.
Aku pernah cuba deep talk hal ini, dia cakap, dia lupa dia dah kahwin. Tu terbawa perangai bujang. Aku dah bagi masa lama untuk dia biasakan diri sudah berkahwin.
Serius aku tawar hati. Hidup seperti janda. Ada suami tapi sunyi. Mungkin Allah hadirkan cahaya mata untuk menemani aku?
Adakah aku perlu berpisah baru dihargai? Aku korban macam-macam. Tapi kawan juga dia hargai. Aku umpama wanita yang tak wujud.
Sekarang aku di fasa tawar hati dimana dah seminggu serumah tapi tidak bertegur. Dia pergi kerja part time aku tak tanya.
Entah ini mungkin hati sudah tawar. Doakan aku kuat bersama anak untuk tempuh dugaan akan datang. Mungkin bila dah tiada baru hargai.
Baca juga: Isteri warga Iran kongsi keadaan terkini, dedah punca akses internet dan panggilan disekat