Bukan sahaja dalam kalangan pemain bola sepak, malah ramai individu di luar negara menjadikan tatu sebagai simbol identiti dan ekspresi diri.
Bagi sesetengah orang, ia cara untuk menonjolkan kelainan dan keberanian namun, tidak semua memilih jalan yang sama.
Ada yang menolak tatu atas dasar kepercayaan agama, budaya, atau pegangan prinsip hidup yang kuat.
Cristiano Ronaldo, antara nama besar dalam dunia bola sepak, juga membuat keputusan berbeza.
Berbanding rakan sepasukan yang penuh dengan tatu, Ronaldo kekal dengan tubuh tanpa sebarang ukiran dakwat dan sebab di sebalik pendiriannya itu nyata mencuri perhatian ramai.
Buat pemain berusia 39 tahun itu, dia mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak bertatu, malah memegang prinsip tersebut hingga kini lapor portal GiveMeSport.
Menurut laman web berita Itali, Diretta pada tahun 2012 memakluman Ronaldo tidak mahu bertatu agar dia boleh menderma darah dengan lebih kerap.
Umum tahu sekiranya anda bertatu atau bertindik, National Health Service menegaskan bahawa penderma darah mesti menunggu sekurang-kurangnya empat bulan sebelum mereka boleh menderma semula.
Disebabkan itu, Ronaldo enggan mendapatkan sebarang bentuk tatu atau tindikan pada badannya kerana dia menjadi penderma darah tetap.
Malah dia juga adalah penderma sum-sum tulang berdaftar sejak 2011.
Segalanya bermula apabila rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Portugal, Carlos Martins mendedahkan bahawa anaknya telah disahkan menghidap leukemia dan memerlukan pemindahan darah dan sumsum tulang.
Dalam satu temu bual bersama radio Sepanyol, Cadena Cope pada 2013, melalui The Sun, Ronaldo mengaku menderma sumsum tulang itu tidaklah sesakit digambarkan.
Bercakap kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Cope pada 2013, melalui The Sun, Ronaldo berkata:
“Dia memberitahu kami mengenai masalah dengan anaknya dan kami sebagai bekas pemain menunjukkan kesepaduan yang hebat.
“(Menderma sumsum tulang) adalah sesuatu yang ramai orang fikir perkara yang sukar untuk dilakukan tetapi ia tidak menyakitkan,” ujar Ronaldo.
Pada 2015, Ronaldo mengetuai kempen yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menderma darah.
“Kita semua boleh membuat perubahan dengan menderma darah. Setiap derma boleh memberi manfaat kepada sehingga tiga orang dalam situasi kecemasan dan untuk rawatan perubatan jangka panjang.
“Itulah sebabnya saya bersemangat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan derma darah dan menggalakkan orang ramai di seluruh dunia menjadi penderma darah sepanjang hayat dan membantu menyelamatkan nyawa.”
Baca juga: Ini punca Najib Razak dilepas tanpa bebas atas 3 tuduhan gubah wang haram SRC RM27juta