Peguam, Wan Muhammad Afiq Mohd Razif yang mewakili isteri kepada pelakon Fikry Ibrahim iaitu Siti Khalizah Alihan tampil memberi penjelasan tentang isu kenyataan bercanggah berhubung kes penceraian pasangan itu.
Wan Muhammad Afiq Mohd Razif tidak menafikan tujuan Khalizah hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis adalah untuk menarik balik permohonan cerai difailkan pada Mei lalu.
Perkara ini sekali gus mengesahkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Fikry sebelum ini di dalam program Melodi pada Khamis lalu berhubung tujuan isterinya hadir ke mahkamah adalah benar.
Walau bagaimanapun, hakim membuat keputusan untuk memberikan peluang kepada Khalizah selaku plaintif dan Fikry untuk melakukan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka, lapor Mstar.
“Ya, apa yang Fikry cakap semalam (di dalam program Melodi) adalah betul. Saya sahkan bahawa Khalizah ada membuat permohonan untuk menarik balik kes perceraian mereka.
“Sekarang diberikan laluan (oleh mahkamah) untuk perbincangan perdamaian”, katanya memetik laporan Mstar untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung percanggahan kenyataan sebelum ini.
Terdahulu, Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin dalam prosiding mahkamah syariah kelmarin telah menetapkan tarikh pada 10 September depan untuk sebutan semula kes penceraian tersebut.
Wan Muhammad Afiq sebelum ini memaklumkan anak guamnya telah memfailkan perceraian itu pada Mei lalu selepas empat bulan mendirikan rumah tangga dengan alasan sudah tiada persefahaman antara mereka.
Fikry selaku pengacara bagaimanapun menafikan berlaku masalah dalam rumah tangganya ketika bersiaran langsung di program Melodi malah tujuan isterinya hadir ke mahkamah adalah untuk membatalkan permohonan cerai.
Difahamkan, permohonan penceraian berkenaan difailkan oleh Khalizah pada bulan Mei lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sekadar info, Fikry dan Khalizah baru sahaja mendirikan perkahwinan pada 12 Februari lalu di dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Pasangan itu mengambil pendekatan untuk menjaga privasi sejak awal perhubungan sehingga perkahwinan mereka hanya diketahui umum selepas Fikry memuat naik gambar pernikahan.
Baca juga: Realiti di sebalik bangunan tinggi di Hong Kong, rakyat hidup macam dalam sangkar