Sepasang suami isteri terkejut besar apabila menemukan wang bernot RM50 yang sudah terkoyak dengan teruk di dalam tong sampah di rumah dipercayai digunting oleh anak mereka.
Menerusi satu perkongsian tular dimuat naik di platform Threads, sang ibu memaklumkan bahawa wang RM50 itu digunting anaknya di malam hari ketika penghuni lain di rumah sudah tidur.
Wanita itu menyifatkan perbuatan anaknya sebagai idea kreatif dan mencuba memahami pemikiran kanak-kanak berkenaan yang mungkin melihat wang tersebut seperti kertas biasa.
Berdasarkan gambar dikongsikan sang ibu, wajah Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad turut digunting dari not RM50 oleh kanak-kanak terbabit.
“Kisah malam tadi. Bonda sudah tidur dan Maryam (nama anaknya) dengan ideanya yang kreatif. Saya rasa ini adalah satu-satunya kertas yang dia jumpa dan gunting sampai jadi macam ini.
“Siap gunting mengikut bentuk tokoh dalam duit. Masya-Allah, anakku yang kreatif. Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala? Senyum sahajalah anak. Cuba kongsi aktiviti yang anak kamu semua buat pula.
“Sebenarnya kami terjumpa duit RM50 ini di dalam tong sampah. Kebetulan pula plastik sampah baru tukar. Jadi memang nampaklah duit itu dia gunting macam bunga rampai,” kongsi wanita itu dalam perkongsian tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna Threads terhibur dengan perkongsian sang ibu selain turut menceritakan pengalaman peribadi mereka ketika berhadapan dengan situasi sama.
Beberapa individu turut memberikan cadangan tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan wanita itu untuk menyelamatkan wang miliknya dengan merujuk kepada pihak bank.
“Anak yang kreatif. Ketika anak saya empat tahun, dapat duit RM20. Dia nak kongsi duit itu dengan Nenek dia. Jadi dengan lajunya, dia koyak dua RM20 itu. Separuh untuk dia, selebihnya buat nenek dia. Termenung kami tengok duit koyak. Niat sudah betul, nak berkongsi. Tetapi itulah,” kata seorang pengguna.
“Kakak cuba pergi ke bank untuk minta tukar duit itu. Hari itu anak kawan ada juga gunting duit bernot RM50. Dia dapat tukar duit baharu.” Kongsi pengguna lain memberi cadangan untuk menyelamatkan wang miliknya.
Baca juga: Cristiano Ronaldo enggan cacah tatu, ini alasannya yang ramai tak tahu