Elcah mohon maaf selepas dedah bukti suami curang, akui kelemahan sebagai isteri

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh media sosial, Elcah tampil memohon maaf susulan membuat pendedahan mengenai suaminya iaitu Afi Hamri yang didakwa telah berlaku curang sekali lagi di dalam perkahwinan mereka.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Elcah mengakui kelemahan diri sebagai wanita bergelar isteri terutamanya dalam mengawal emosi namun berjanji akan menjadi insan lebih baik selepas ini.

Pemilik nama sebenar Aien Hasha itu juga meminta agar pengikutnya mengirimkan doa buat dirinya supaya dapat menjadi wanita lebih kuat serta isteri yang solehah dan tentunya taat kepada suami.

“Assalamualaikum. Di sini saya ingin memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku. Dengan rendah hati, saya mengakui kelemahan diri sebagai seseorang isteri yang tidak kuat. Disebabkan terlalu emosi dan saya akuinya.

“Akan datang, saya akan menjadi lebih baik. Saya mohon doa dari semua pengikut agar dapat terus menjadi wanita yang lebih kuat, dikurniakan ‘Afiyah’ (keselamatan atau kesejahteraan) dalam hidup serta mampu menjadi isteri yang solehah dan taat.

“Insya-allah. Setiap apa yang berlaku mungkin telah beri kesan kepada suami dan kedua-dua belah keluarga. Lagi sekali, saya mohon maaf atas segala yang terjadi. Saya juga manusia yang punya hati dan perasaan,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam perkongsian sama, pempengaruh terbabit turut mengucapkan terima kasih di atas nasihat dan sokongan diberikan orang ramai selain berharap akan menerima bimbingan ke jalan yang lebih baik selepas ini.

Elcah sebelum ini berjaya meraih perhatian ramai selepas memuat naik tangkap layar perbualan suaminya dengan seorang wanita menerusi pesanan secara terus (DM) di akaun media sosial milik lelaki itu.

Menerusi pendedahan di Instagram Story itu, Elcah turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap Afi atau nama sebenarnya, Hafizzuddin Hamri yang didakwa sekali lagi bermain kayu tiga dibelakangnya.

Hantaran Elcah di Instagram Story sebelum ini tentang suaminya yang dikatakan telah berlaku curang.

“Isteri sendiri disekat di platform media sosial tetapi ikuti akaun wanita macam tandas awam. Tengoklah dia punya tak reti nak jaga maruah isteri. Susah senang bersama tetapi dilayan macam sampah. Minta maaf pun tiada. Tetapi dengan wanita lain, semua dia minta maaf.

“Siap hantar video. Kau suka tunjuk murni di sosial media. Tak pernah bersyukur. Selepas itu kongsi hantaran pasal agama macam aku yang terpaling berdosa dan buat hal. Padahal kau sibuk jadi tandas awam betina di sini sana. Buat panggilan video dan mesej.

“Rindu nak jumpalah, macam-macam. Lain kali, cerminlah diri kau. Jika sudah kahwin, jangan menggatal. Selepas kantoi, nak maki-maki. Kata aku tak reti jaga air muka kau. Memalukan. Aku ini dari dulu sakit. Sampai sekarang tak pernah berubah.” Kesal Elcah dalam hantaran itu.

Sekadar info, Elcah mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama Afi pada Januari tahun lalu selepas dua kali gagal dalam perkahwinan terdahulu yang terbina pada 2015 dan 2023.

Elcah juga pernah menjadi topik perbincangan hangat di media sosial sebelum ini selepas mengaku diceraikan oleh bekas suami dalam tempoh lapan hari pernikahan kerana enggan bermadu dengan teman wanita lelaki itu.

Baca juga: ‘Burn out’ urus anak seorang diri, tapi serba salah nak bercerai sebab suami tak pernah culas nafkah