‘Cara orang ‘move on’ tak sama, bergantung pada jodoh’ – Fattah Amin

Oleh MAISARAH AISYA

Perceraian bukan penamat segalanya, sebaliknya peluang untuk bangkit dan membina semula kehidupan dengan lebih tenang dan bermakna.

Hidup tidak berakhir dengan perpisahan, malah ia boleh menjadi titik permulaan kepada versi diri yang lebih kuat dan matang.

Buat pelakon Fattah Amin, dia menganggap setiap orang yang bercerai ada cara tersendiri untuk teruskan kehidupan lapor Kosmo! Online.

Bagi Fattah, orang ramai tidak wajar menjatuhkan hukuman sekiranya ada individu termasuk dirinya mudah ‘move on’ daripada kisah silam.

“Semua yang berlaku ada hikmah dan soal jodoh pun sudah ditetapkan sekali. Apa yang saya lalui ketika ini adalah takdir dan jalan yang Allah SWT sudah tetapkan.

“Jadi saya ‘move on’ atau dapat jodoh cepat atau lambat, semuanya diserahkan pada Allah,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Jelas pelakon berusia 35 tahun itu, dia tidak menafikan segelintir lelaki cepat melupakan kisah silam berbanding wanita.

“Kita tak boleh menyamakan cara setiap orang ‘move on’, sebab setiap orang melalui fasa kehidupan berlainan.

“Mungkin ada sebab mereka cepat melupakan, kena tanya dia balik. Ada pula yang lambat, bagi saya cepat atau lambat terpulang pada individu.

“Sama juga seperti jodoh, ada yang datang cepat dan ada jodoh yang lambat,” jelasnya.

Sekadar info Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.

Pasangan tersebut sah bercerai sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Oktober tahun lalu.