Seorang pengguna platform Threads berkongsi pengalaman pahit apabila tersalah memindahkan wang sebanyak RM1,000 ke akaun individu tidak dikenali.
Dalam perkongsian itu, individu tersebut mendedahkan dia telah menghubungi pihak bank namun mendakwa tidak menerima bantuan sewajarnya.
Malah, laporan polis juga tidak memberi hasil kerana pihak berkuasa hanya akan bertindak sekiranya individu yang menerima wang dapat dihubungi.
“Aku hubungi bank, bank bukan tolong sangat pun. Buat laporam polis bagai, alih-alih dia cakap kalau orang tu dapat dihubungi boleh lah dia orang tanyakan. Kalau tak, tak boleh buat apa,” tulisnya.
Tidak berputus asa, dia bertindak memindahkan 10 sen sebanyak tiga kali ke akaun yang sama, disertakan nombor telefon dan permintaan agar wang dikembalikan.
Namun, selepas dua minggu menunggu, individu berkenaan mahupun pihak bank tidak memberikan sebarang respon.
Akhirnya, dalam percubaan terakhir, dia menghantar mesej jelas.
“Akhirnya aku pindahkan 10sen, aku tulis. Aku haramkan duit aku semoga susah keturunan kau sampai cicit,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang rata-rata bersetuju dengan kekecewaan terhadap sikap acuh tak acuh pihak bank apabila pelanggan menghadapi masalah pemindahan wang tersilap akaun.
Baca juga: Isteri ini hilang hormat apabila suami jatuh miskin, tinggikan suara minta diceraikan segera