Tahun 2025 menyaksikan kebangkitan semula beberapa kumpulan muzik Malaysia era 90-an yang kembali membuat persembahan konsert secara besar-besaran.
Ini adalah susulan kejayaan konsert kumpulan legenda KRU yang membuat kemunculan semula pada Mei lalu di Axiata Arena, mengimbau era kegemilangan mereka.
Kini kumpulan hiphop 90-an, 4U2C bakal bertemu peminat namun ada pula isu timbul berkenaan konsert mereka.
Sebelum ini media melaporkan komposer dan penerbit, Man Senoi dan isterinya, Mama Rap yang juga pemilik hak cipta lagu-lagu 4U2C mendakwa tidak dihubungi mana-mana pihak berkenaan konsert tersebut.
Tampil menjawab persoalan berkenaan ketua kumpulannya, Datuk AC Mizal memaklumkan mereka akan melantik pihak bertanggungjawab.
Ini adalah agar semuanya dibuat mengikut saluran betul agar tidak timbul sebarang isu hak cipta lagu yang akan dipersembahkan di acara WE 4U2C Live in Concert lapor Harian Metro.
“Saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenai perkara itu kerana saya sendiri sudah lama tidak ada sebarang kaitan dengan mereka.
“Fokus saya sekarang hanyalah pada konsert ini sahaja. Segala urusan lain akan dikendalikan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Meskipun dia tidak mendedahkan siapa yang akan menguruskan hal itu, AC berkongsi bahawa ada tiga lagu baharu yang akan dipersembah di konsert berkenaan.
Malah kesemua anggota kumpulan 4U2C juga kini sibuk menjalani latihan untuk persembahan mereka akan datang.
“Kita juga ada banyak lagu yang akan dipersembahkan, termasuk tiga lagu baharu dan sebagainya.
“Jadi, bagi saya tiada sebarang masalah kerana semuanya diuruskan dengan baik oleh pihak berkenaan.
“Kami juga sudah memulakan sesi latihan. Latihan yang dijalankan agak intensif, membabitkan latihan tarian, nyanyian, dan banyak tertumpu kepada aspek persembahan secara keseluruhan,” katanya.
Baca juga: Hutang budi perlu dibalas, Syed Saddiq tak akan lupakan jasa Bella Astillah