Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang lelaki warga emas diminta keluar daripada sebuah surau di kawasan perumahan yang dipercayai terletak di Telok Panglima Garang, Selangor.
Difahamkan, warga emas terbabit datang ke surau untuk menunaikan solat Subuh namun tidak terus beredar dari tempat beribadat berkenaan selepas habis waktu kerana mahu mendirikan sembahyang sunat pula.
Walau bagaimanapun, tindakan warga emas itu tidak disenangi oleh seorang wanita yang dikatakan mewakili pihak pengurusan dan meminta lelaki digelarkan pak cik terbabit untuk keluar daripada surau berkenaan.
Menurut wanita itu, pak cik terbabit tidak boleh duduk di surau berkenaan di luar waktu solat kerana telah berlaku kecurian sebelum ini selain bukan daripada kalangan penduduk di kawasan perumahan tersebut.
Dalam rakaman yang disebarkan di platform TikTok itu, wanita terbabit juga dilihat dengan tegas menjelaskan bahawa fasiliti di surau terutamanya elektrik ditanggung oleh penduduk melalui bayaran kos penyelenggaraan.
“Minta maaf ya, pak cik. Saya nak tanya pak cik buat apa di sini? Penduduk ke? Minta maaf ya, tak boleh duduk di sini (selepas habis waktu) sebab ada kes kecurian baru-baru ini. Jadi pak cik sepatutnya beredar selepas solat Subuh.
“Hak penduduk di sini. Mereka bayar kos penyelenggaraan dan pak cik bukan penduduk kan? Selepas Subuh, pak cik patut datang semula di waktu solat lain. Sebab caj elektrik semua, pihak pengurusan yang bayar,” ujar wanita itu.
Wanita itu kemudian mengiringi warga emas berkenaan keluar daripada surau sebelum menyuruhnya menutup suis lampu terlebih dahulu dan bertindak mengunci tempat beribadat tersebut.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 226,500 tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya kurang senang dengan sikap perakam video terhadap warga emas berkenaan.
Mereka juga berkongsikan pendapat sama bahawa pihak pengurusan sepatutnya meletakkan papan kenyataan di luar bangunan jika tidak mahu penduduk di luar kawasan perumahan itu beribadat di surau tersebut.
“Bab kecurian itu boleh bersangka baik lagi. Kerana alasan boleh diterima. Tetapi apabila terdengar mengenai yuran penyelenggaraan itu, saya terkejut sedikit. Faham, dibayar penduduk. Tetapi sekadar lampu sahaja yang diguna,” kata seorang pengguna.
“Boleh jadi punca orang tidak berminat nak pergi ke surau atau masjid. Nak beriktikaf pun tak boleh. Duit orang infak itu kadang-kadang tak luak (habis) pun dekat masjid dan surau. Buat apa simpan banyak-banyak jika tak berikan manfaat kepada ummah.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Hak cipta lagu milik pihak lain, 4U2C pilih jalan betul urus hak secara profesional